Tembok pagar yang rosak akibat tanah runtuh di Blok 8, Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor, semalam. Foto dikongsikan mangsa Noor Aini Akuan.

KOTA TINGGI – Mangsa kejadian tanah runtuh di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor, Noor Aini Akuan berkata, dia sangat takut dan terasa jantung mahu gugur semasa cuba menyelamatkan diri selepas melihat struktur tembok pagar rumahnya separuh runtuhnya.

Menceritakan detik cemas kejadian yang berlaku 6.50 petang semalam,wanita itu mengaku, dia masih trauma.

“Ya Allah memang Tuhan sahaja yang tahu. Akak tidak tahu hendak kongsi bunyi dia macam mana tetapi memang kuat dan sangat menakutkan sebenarnya.

“Tetapi kami memang bersyukur kerana selamat. Bimbang memang masih ada lebih-lebih lagi musim hujan. Perkara begini jika hendak berlaku kita tidak boleh jangka.

“Hati akak ni macam-macam fikir setiap kali lihat hujan turun. Tetapi kita doa baik-baik sahaja.

“Mudah-mudahan semua dilindungi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Noor Aini, dia berada di dapur ketika kejadian berlaku.

Katanya, walaupun terdengar bunyi dentuman kuat namum dia tidak sedar sebahagian daripada pagar rumahnya sudah roboh akibat tanah runtuh.

“Semalam hujan memang lebat, kejadian berlaku waktu hampir maghrib tiba-tiba saya dengar bunyi benda jatuh kuat sangat dan menakutkan.

“Waktu itu suami saya bergegas keluar dan dia lihat sebahagian pagar rumah sudah roboh.

“Rumah saya di atas bukit jadi apabila berlaku tanah runtuh sebegini memang kami risau tetapi nasib baik tiada kenderaan atau sesiapa lalu di lorong bawah ketika kejadian.

Kalau tidak  saya pun tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku,”katanya yang berkongsi detik cemas kejadian 6.50 petang itu ketika dihubung MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah Noor Aini, bunyi dentuman kuat itu turut menyebabkan jiran-jirannya bimbang terhadap nasib mereka.

Bagaimanapun jelas beliau, hanya rumahnya sahaja yang terjejas disebabkan kejadian tanah runtuh semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar pihak berkuasa dapat melakukan tindakan

Bagaimanapun Malaysia Gazette difahamkan pihak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Kota Tinggi telah menghantar pegawainya kira-kira pukul 10 pagi tadi untuk menilai taksiran kerugian dan baik pulih rumah kepada keluarga terjejas.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast