Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan yang menerajui pentadbiran negara selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berkemungkinan menjadi gabungan terakhir yang mendominasi politik tanah air.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berpendapat, tiada parti yang dijangka dapat meraih majoriti mudah pada PRU15.

“Kita mahukan kerajaan yang stabil selepas PRU15. Namun, dalam PRU kali ini, dijangka tiada yang boleh mencukupkan sebanyak 112 kerusi Dewan Rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.

Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof

Jelas Muhammad Fathi, jika ramalan itu berlaku, antara penyelesaian awal agar Kerajaan Persekutuan dapat ditubuhkan adalah dengan sokongan gabungan politik yang kecil terutama dari Sabah dan Sarawak.

“Peringkat awal mungkin gabungan kecil seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menyatakan sokongan kepada gabungan yang paling tinggi disokong. Ini dapat mencukupkan majoriti bagi menubuhkan kerajaan dan masalah boleh selesai,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menambah, sekiranya usaha tersebut masih gagal meraih majoriti, tiada pilihan yang lebih baik melainkan pembentukan kerajaan campuran membabitkan gabungan politik di Semenanjung.

Rentetan itu, Muhammad Fathi menasihatkan agar pimpinan parti sentiasa mengamalkan politik matang kerana tidak mustahil musuh yang ditentang dalam PRU15 akan menjadi rakan gabungan satu hari nanti. – MalaysiaGazette