Seorang warga emas ditemui mati lemas selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit. bersama motosikal ke dalam parit Foto: Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas ditemui lemas dalam parit selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit di Jalan Jepun, Kampung Melaka, Tanjong Karang awal pagi ini.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut pada jam 5.06 pagi telah mengerahkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang yang tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.

“Pemerhatian di lokasi mendapati pasukan menemui mayat seorang lelaki terapung disyaki terjatuh dan lemas.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa seorang warga emas lelaki mati lemas akibat motosikal jenis Yamaha Ego berwarna perang yang ditungganinya hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit besar itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, anggota di lapangan telah menggunakan kaedah Receo untuk mengeluarkan dan menaikkan mayat mangsa yang berusia 68 tahun itu daripada parit tersebut.

“Mayat telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kemalangan itu.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette