Md Jais Sarday (kanan) menyerahkan anak pokok Lada Hitam dan Gambir kepada Ketua Komuniti Taman Kiara Mas, Zainal Abidin Ariffin bersempena perasmian Kebun Komuniti Johor di Taman Kiara Mas di Kluang.

KLUANG- Sepuluh taman perumahan dan tiga buah kampung sekitar bandar ini diberikan bantuan pertanian bagi memanfaatkan tanah lapang di kawasan kediaman seterusnya menjana ekonomi keluarga komuniti.

Pengerusi Yayasan Perbandaran Kluang (YPK), Datuk Md Jais Sarday berkata, hasil kolaborasi antara Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Jabatan Pertanian Malaysia satu inisiatif diberikan kepada taman perumahan dan kampung terpilih untuk mengusahakan tanaman lada hitam dan gambir.

Menurutnya, antara taman perumahan yang terpilih untuk menerima inisiatif itu adalah Taman Ilham,Taman Makmur,Taman Kiara Mas, Taman Sri Kluang 1, Taman Seri Suria, Taman titiwangsa, Taman Yap Tau Sah, Taman Intan, Taman Sri Impian fasa 3 dan Taman Delima selain tiga kampung iaitu Kampung Sri Lambak, Kampung Abdul Rahman Yassin dan Kampung Melayu.

“Jika diusahakan dengan sebaiknya, dua tanaman ini mampu menghasilkan pulangan kepada setiap komuniti kerana mempunyai nilai pasaran dan permintaan yang tinggi.

“Oleh yang demikian, setiap ruang tanah kosong yang berpotensi untuk diusahakan perlu digunakan sebaiknya tanpa membiarkannya menjadi semak-samun yang tidak mendatangkan faedah,” katanya.

Md Jais berkata demikian ketika merasmikan program Kebun Komuniti Johor di Taman Kiara Mas, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang DiPertua MPK Norliyati Md Nor dan Pegawai Pertanian Daerah Kluang, Azlina Md Dom.

Sementara itu, Ketua Komuniti Taman Kiara Mas, Zainal Abidin Ariffin berkata, pada masa ini pihaknya menjalankan aktiviti penanaman fretigasi Cili Sentil dan ia membuahkan hasil yang lumayan dengan tuaian dilakukan sekali seminggu.

Ujarnya, dengan adanya bantuan pertanian tanaman lada hitam dan gambir tersebut mampu meningkatkan lagi sumber pendapatan bagi komuniti di taman perumahan berkenaan.

“InsyaAllah dengan khidmat nasihat yang diberikan oleh pihak Jabatan Pertanian usaha untuk menjadikan lada hitam dan gambir sebagai salah satu sumber pendapatan komuniti pasti akan membuahkan hasil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast