Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermesra dengan calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin ketika hadir berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kota Damansara. Foto FAREEZ FADZIL, 14 November 2022.

SUNGAI BULOH – Barisan Nasional (BN) belum berbincang untuk melantik Khairy Jamaluddin atau mana-mana calon lain sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, fokus utama BN pada masa ini adalah untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita menang dulu, kita belum bincang lagi.

“Calon daripada UMNO ada dari Sabah dan Sarawak, semua keputusan (akan dibuat) selepas kita menang,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama calon BN Sungai Buloh itu meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi di Uptown Kota Damansara.

Sementara itu, beliau menyeru pengundi di Sungai Buloh untuk memberi peluang kepada Khairy menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu.

Ismail Sabri turut merayu rakyat seluruh negara memilih BN pada 19 November ini.

“Beri peluang kepada Khairy dan saya juga merayu seluruh rakyat untuk memberi peluang kepada  BN.

“Insya Allah kita akan lantik TPM seperti yang dijanjikan.

“(Namun) siapa (individu itu) akan ditentukan nanti” tambah beliau. 

Sebelum ini, terdapat cadangan daripada EXCO Pemuda UMNO Malaysia yang mahu Khairy dilantik sebagai TPM.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast