Duit syiling peringatan ulang tahun Bandar raya Kuala Lumpur ke-50.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Bandar Raya Kuala
Lumpur yang ke-50 (KL50).

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu duit syiling peringatan perak sterling berwarna (pruf), mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

Manakala duit syiling peringatan emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.) seberat 8.5 gram serta diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM330. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic.

Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian, kata Bank Negara Malaysia.

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 10 pagi hari Isnin, 14 November 2022 hingga 11 malam Ahad, 27 November 2022.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan.

Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan, katanya. – MalaysiaGazette