KUALA LUMPUR – Esok merupakan hari penting buat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mana mereka akan mengundi awal.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyeru agar mereka menggunakan hak yang ada bagi memilih sebuah kerajaan yang adil dan menjaga kepentingan warga ATM.
“Setiap satu undi itu penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah dalam lima tahun akan datang, buatlah pilihan yang bijak, pilihlah calon dan parti yang mempunyai rekod serta pencapaian yang baik.
“Inilah pertimbangan yang paling adil, kalau boleh keluar mengundi awal dan jaga disiplin semasa melalui setiap proses pengundian.
“Pelihara lah nama baik ATM, buktikan ATM adalah contoh teladan yang baik kepada masyarakat, selamat mengundi semua,” katanya di Twitter beliau, hari ini.
Sejumlah 265,531 anggota ATM dan polis akan menjadi kumpulan utama penentu mandat kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), esok.
Jumlah itu terdiri daripada 146,737 anggota ATM serta pasangan masing-masing, 118,794 anggota polis serta pasangan.
Dalam pada itu, Hishammuddin menasihatkan agar pengundi-pengundi tersebut turun awal agar dapat memudahkan proses pembuangan undi.
“Saya nak ucapkan selamat mengundi kepada ATM dan ahli keluarga masing-masing di seluruh negara.
“Keluarlah beramai-ramai kerana ini merupakan hak dan tanggungjawab semua demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette