KUALA LUMPUR- Tanah-tanah terbiar di daerah Tampin, negeri Sembilan boleh dibangunkan dalam usaha memperkasakan ekonomi berasaskan pertanian.
Calon Pakatan Harapan (PH) Tampin, Faiz Fadzil berkata, penduduk perlu mengambil peluang itu ia sebahagian usaha PH untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka terutama golongan muda.
Kata beliau, dengan adanya usaha itu, golongan muda akan berminat menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan negara.
“Apatah lagi, usaha ini akan memberikan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada warga Felda terutama generasi kedua dan ketiga.
“Di samping itu, industri hiliran berasaskan pertanian juga perlu dibangunkan di daerah ini dan lebih banyak syarikat pemprosesan makanan dijemput untuk membuka kilang atau fasiliti mereka untuk memproses hasil pertanian.
“Anak-anak muda dan perniagaan tempatan kecil dan sederhana (IKS) di Tampin juga perlu dibantu dan dibimbing untuk berkecimpung dalam industri hiliran pertanian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Faiz, jika usaha itu berjaya, ia akan memperkasakan ekonomi Tampin dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bermutu tinggi kepada anak muda terutama generasi kedua dan ketiga Felda.
Jelas beliau, kemahiran dan minat penduduk Tampin kepada sektor pertanian harus dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Dengan itu, katanya, Tampin akan dikenang rakyat Malaysia kerana mampu menambah bekalan produk pertanian yang boleh mengurangkan harga barang makanan yang semakin mahal, sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup.
“Kita sedar, penduduk Tampin berhadapan satu isu besar yang mencengkam hidup mereka iaitu kekurangan peluang pekerjaan.
“Saya melihat Tampin ini sebuah daerah yang kaya dengan potensi terutama dalam sektor pertanian. Maka, ia perlu menjadi salah satu hub terpenting negara untuk membekalkan makanan ke seluruh Malaysia.
“Malah, kerajaan Negeri Sembilan pimpinan PH telah pun memulakan usaha untuk mentransformasikan Tampin sebagai Lembah Makanan,” katanya.
Katanya, jika diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Tampin untuk lima tahun akan datang, beliau tekad memperjuangkan kawasan itu sebagai Lembah Makanan.
Jelas beliau, pengusaha pertanian tempatan akan dijadikan penggerak utama dalam usaha itu dan dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan, petani serta peladang akan dibantu dan dibimbing untuk meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman. – MalaysiaGazette