KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah memulakan kerjasama dengan syarikat tempatan Menum Industries Sdn Bhd dalam merintis inisiatif ekonomi kitaran dengan menggunakan enap cemar untuk pengeluaran Larva Lalat Askar Hitam (Larvae Black Soldier Fly).

Melalui kerjasama ini, IWK mengguna semula enap cemar yang terhasil daripada rawatan sisa kumbahan sebagai makanan kepada Larva Lalat Askar Hitam yang kemudiannya larva dewasa ini akan dijadikan sumber makanan protein penuh lemak.

Dalam kenyataan media baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, biopepejal atau enap cemar kumbahan adalah pepejal organik yang dihasilkan daripada proses rawatan air kumbahan.

Larva Lalat Askar Hitam, yang memakan biopepejal yang bercampur dengan sisa organik lain boleh dituai untuk menghasilkan makanan protein penuh lemak iaitu makanan kegunaan dalam industri akuakultur terutamanya penternakan ikan hiasan.

Menum Industries mempunyai pengetahuan teknikal dan kemudahan untuk menghasilkan Larva Lalat Askar Hitam ini yang akan memakan campuran yang mengandungi enap cemar ini.

Narendran berkata, Loji Rawatan Kumbahan Serantau (LRKS) IWK di Lembah Klang menjana kira-kira 200 tan biopepejal sehari yang kini dilupuskan ke tapak pelupusan.

Oleh itu, usaha ini bukan sahaja mengurangkan pelupusan biopepejal ke tapak pelupusan tetapi juga pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG).

”Penggunaan semula biopepejal untuk menghasilkan sumber nutrien yang berharga dan mampan pastinya merupakan titik perubahan kepada IWK dalam usaha syarikat terus mengukuhkan inisiatif hijaunya.

”Inisiatif ini adalah selaras dengan sasaran Pelan Teknologi Hijau Malaysia (GTMP), iaitu mencapai 100% kitar semula biopepejal menjelang 2030 dan akan mengakibatkan pengurangan pelepasan GHG sebanyak kira-kira 11,500 tan metrik CO2e setahun,” katanya.

Menurut beliau, sebagai tambahan kepada inisiatif ini, IWK juga sedang mengkaji untuk memaksimumkan penggunaan semula enap cemar bagi mengembangkan keupayaan penghasilan palet baja untuk tumbuhan bukan makanan.

IWK juga sedang menjalankan inisiatif air pulih guna yang mana air kumbahan yang telah dirawat dari loji rawatan kumbahan IWK akan menjalani rawatan selanjutnya sebelum digunakan semula bagi tujuan bukan air minum.

Inisiatif ini akan membuka peluang kepada operator air mendapatkan sumber air alternatif untuk tujuan bukan air minum, yang boleh membantu mengurangkan beban sumber air asli sekali gus meningkatkan amalan ekonomi kitaran.

Sejak tahun 2015, syarikat pembetungan nasional ini telah mengambil langkah untuk memulakan projek-projek berskala kecil dengan pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan semula efluen terawat untuk menyiram tanaman landskap.

”Semua inisiatif ini pastinya akan membuka peluang perniagaan baru sambil IWK terus mencari langkah-langkah inovatif untuk memastikan proses dan produk sampingan hiliran kami ini diuruskan secara mampan,” tambah Narendran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast