Mohd Rashid Hasnon

BATU PAHAT – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon sekali lagi menemplak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat fitnah terhadap beliau berhubung jawatan Timbalan Speaker.

Menurut Mohd Rashid, kempen berunsur fitnah dan murahan seperti yang dilakukan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu amat memalukan dan tidak bersandarkan kepada fakta.

Justeru beliau berkata, seteru politiknya itu jelas tidak mempunyai apa-apa isu yang boleh dikaitkan untuk menyerang beliau.

“Mereka serang saya secara terbuka dalam siri kempen dan ceramah di Batu Pahat kononnya saya menangis dan menangis dan merayu jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat diberikan kepada saya.

“Mereka lemparkan tuduhan dan fitnah bahawa saya khianat dengan gelaran ‘katak tak guna’ serta meminta saya dibuang ke laut dan parit pada 19 November.

“Orang yang baik pun kalau dicampak ke laut boleh jadi pulau,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu, Anwar ketika berceramah dalam siri Jelajah Pakatan Harapan mendakwa, Mohd Rashid pernah menangis dan merayu kepadanya meminta diberikan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ketika dalam PH.

Beliau turut menyatakan Mohd Rashid yang juga penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat sebagai pengkhianat parti dan pengundinya.

Dalam pada itu Mohd Rashid menegaskan, sebelum ini beliau telah membuat kenyataan balas bahawa pelantikannya ke jawatan itu berdasarkan undian oleh majoriti ahli-ahli parlimen.

Pada PRU14, Mohd Rashid bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi Parlimen Batu Pahat dengan majoriti 17,894 undi.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Haliza Abdullah dan calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Bagaimanapun, Mohd Rashid kemudian keluar parti apabila berlaku ‘Langkah Sheraton’ dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada 2020, Mohd Rashid dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette