KUALA LUMPUR – Bukit Aman sedang menyiasat seorang pelakon yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung video kontroversi membabitkan pelakon tersebut.
Katanya, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
Siasatan bagi kes berkenaan telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
“Zul Huzaimy turut disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Datuk Noorsiah, individu berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Terdahulu, satu klip video yang memaparkan pelakon itu sedang berceramah di pentas politik di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu, tular di media sosial.
Pelakon lelaki itu dirakam mengeluarkan kata-kata sensitif melibatkan isu perkauman.
Zul Huzaimy kemudiannya memohon maaf menerusi satu hantaran video di Instagramnya dan mendakwa ucapan beliau telah disalah tafsir.- MalaysiaGazette