SEBELUM negara mencapai kemerdekaan, pendidikan yang wujud adalah terasing, selari dengan corak pemerintahan ‘Pecah-Perintah’ yang diamalkan penjajah Inggeris. Setiap kaum di sekolah mereka iaitu sekolah Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil menggunakan bahasa pengantar, kurikulum, buku dan guru masing-masing. Selepas kemerdekaan, sistem pendidikan telah dibentuk bersesuaian dengan keperluan negara yang merdeka.

Penyata Razak 1951 telah dijadikan asas dalam penggubalan Ordinan Pelajaran 1957 yang bermatlamat membina sebuah negara yang bersatu melalui kurikulum yang sama dan berorientasikan negara ini. Pada masa yang sama juga Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama di sekolah. Selepas Penyata Razak, 2 Laporan Rahman Talib 1960 mengemaskinikan lagi sistem pendidikan pada masa itu. Penekanan terhadap pendidikan vokasional dan teknik untuk memenuhi keperluan tenaga mahir negara di samping penekanan kepada mata pelajaran Pendidikan Agama dan Moral. Selaras dengan perubahan dan penekanan dalam dasar-dasar kerajaan, pada tahun 1974, satu Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Laporan Kabinet 1979 adalah permulaan kepada pembentukan falsafah pendidikan negara yang lebih jelas.

Sebahagian ciri-ciri Laporan Kabinet 1979 lebih banyak menumpukan kepada penegasan kepada pendidikan asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), pendidikan kerohanian dan kurikulum ala Malaysia iaitu dengan melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mulai tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Sistem pendidikan Malaysia telah memasuki era yang lebih baik dengan tercetusnya Falsafah Pendidikan Negara (FPN) pada tahun 1987. Falsafah ini sekali gus telah menggambarkan hakikat keseluruhan yang terdapat dalam sistem pendidikan kebangsaan. FPN diwujudkan untuk menentukan arah haluan, asas dan memberi sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan.

Matlamat pendidikan negara adalah untuk melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan. FPN yang telah digubal pada tahun 1988 telah disemak semula pada tahun 1996 dan hasilnya nama FPN telah ditukarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dengan mengambil inspirasi daripada proses pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Apa yang digariskan dalam falsafah ini juga amat berkait rapat dengan perkembangan dunia Islam dan pembangunan negara Malaysia.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

FPK berbunyi, ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan’. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. FPK dapat dihuraikan bahawa pendidikan di Malaysia adalah bagi memperkembangkan potensi di dalam individu secara menyeluruh dan bersepadu. Ini bermaksud, terdapat pelbagai potensi yang berbeza dalam diri individu masing-masing yang boleh digilap. Ini kerana, setiap makhluk yang diciptakan di atas muka bumi ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Namun usaha mengembangkan potensi seseorang itu haruslah dilakukan secara menyeluruh dan tergabung antara satu sama lain. Tujuan pengembangan ini adalah bertujuan mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Intelek, rohani, emosi serta jasmani ini haruslah seimbang di dalam diri seseorang individu. Ini kerana, kepandaian intelektual seseorang itu tidak memadai jika akhlaknya rosak, emosinya terganggu serta kesihatannya terjejas. Apabila wujud insan yang seimbang intelek, rohani, emosi serta jasmaninya, maka lahirlah rakyat yang berilmu, bertanggungjawab mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk merealisasikan FPK mentransformasikan sistem pendidikan negara di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, antara langkah yang diumumkan adalah selari dengan Enam Aspirasi Murid yang perlu diterapkan kepada semua anak-anak yang melalui pendidikan kebangsaan. Enam Aspirasi Murid ini – pengetahuan, kemahiran dwibahasa, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional ini adalah menjurus kepada kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21 seperti yang telah digariskan oleh Forum Ekonomi Dunia dalam Future of Jobs Report yang meletakkan kemahiran berfikir aras tinggi dan hubungan manusia sebagai kemahiran yang penting dalam dunia pekerjaan.

Bagi memupuk kemahiran yang perlu dalam kalangan anak-anak untuk mendepani cabaran masa hadapan ini, sistem pendidikan kita harus berubah seiring dengan perkembangan globalisasi. Dengan adanya evolusi ilmu di hujung jari, sistem pendidikan tidak hanya memberi fokus kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi anak-anak perlu bersaing dengan Artificial Intelligence (AI) atau robot yang bijak dalam era Revolusi Industri 4.0 ini. Dalam keadaan ini anak-anak yang bakal menjadi pemimpin dan pekerja global di masa akan datang perlu dipupuk dengan etika dan kerohanian supaya
mereka tidak hanyut dalam arus deras kemajuan global.

Revolusi Industri 4.0

Definisi Revolusi Industri 4.0, menurut pengasas Forum Ekonomi Dunia, Schwab, menjelaskan Revolusi Industri Keempat ini ditandai dengan kemunculan super-komputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih mengoptimalkan fungsi otak. Dalam erti kata lain, hidup manusia akan dipermudahkan dengan bantuan robot yang bakal menjadi ‘kawan’ yang akan menguruskan hal ehwal dan tugasan harian.

Dengan menggunakan akronim Revolusi Industri 4.0 ini, segala urusan harian manusia akan dikongsi bersama robot yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia. Walaupun teknologi-teknologi ini masih dalam peringkat pengujian di peringkat global, banyak aplikasi yang digunakan telah pun kita nikmati. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps yang menyediakan
pemandu tentang maklumat laluan serta perjalanan adalah antara bibit-bibit awal kepada pengenalan dunia yang dipanggil Internet of Things (IoT). Perkembangan Revolusi Industri 4.0 memberikan kesan secara langsung kepada pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan kerana ia menjadi asas kepada penyedia tenaga kerja pada masa hadapan.

Oleh itu, penekanan terhadap sektor pendidikan merupakan satu keperluan agar tenaga kerja yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan berteraskan Revolusi Industri 4.0. Sistem pendidikan negara perlu mengorak langkah ke arah pengajian yang dipandu teknologi digital yang lebih bersifat interaktif dan fleksibel. Oleh itu, warga pendidik terutamanya perlulah melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) bagi membolehkan mereka mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.

Warga pendidik perlu memiliki kefahaman yang jelas mengenai teknologi terkini untuk memantapkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) seterusnya dapat membantu melaksanakan sesuatu perancangan yang telah diaturkan oleh kerajaan mahupun kementerian. Sistem pembelajaran yang fleksibel dan interaktif seperti mengadakan bilik kuliah pintar atau smart classroom perlu diperluaskan tidak kira di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahupun institusi pengajian tinggi agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik serta mampu merangsang minat pelajar sekalis gus dapat membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar.

Rumusan

Kesimpulannya, kemajuan teknologi Revolusi Industri 4.0 akan terus memberikan kesan dalam kehidupan manusia akan datang dan perubahan ini tidak dapat dielakkan. Sistem pendidikan cara konvensional sudah tidak praktikal untuk diteruskan dalam era ini kerana suasana pembelajaran ketika ini sangat berbeza. Dengan berkembangnya teknologi maklumat, kesemua maklumat boleh dicapai hanya di hujung jari dan secara tidak langsung, warga pendidik bukan lagi sumber utama penyampai maklumat.

Oleh itu, sebagai warga pendidik, mereka perlu mengadaptasi kaedah baharu pengajaran selari dengan perkembangan pantas teknologi demi menyediakan generasi yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi selain mempunyai kecekapan dalam menggunakan teknologi untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0. Namun begitu, peranan pendidik masih lagi penting dalam mendukung Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam melahirkan modal insan yang luhur, kukuh dan cemerlang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi. Sungguhpun, modal insan yang bakal dilahirkan sangat mahir dalam bidang teknologi maklumat, robotik, artificial intelligent (AI), dan berkemahiran tinggi berteraskan teknologi automasi, namun, mereka harus kekal, berintegriti, jujur, amanah, cekap dan produktif serta menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup.

Oleh: Anim Zalina Azizan
Pensyarah Kanan / Penyelidik
Kumpulan Fokus Pengurusan dan Teknologi
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast