KUALA PILAH – Kerusi Parlimen Kuala Pilah dijangka kekal menjadi milik Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dakwa Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah, Jamali Salam.

Ia kerana pengundi di sini dikatakan masih memberi kepercayaan kepada penyandang dari PN, Datuk Eddin Syazlee Shith untuk terus mewakili mereka di Dewan Rakyat bagi penggal kedua.

Menurut beliau, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu telah banyak membantu mereka sejak menjadi Ahli Parlimen Kuala Pilah selepas PRU-14 lebih-lebih lagi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebagai contoh, bila berlaku PKP, anak-anak kita tidak dapat ke sekolah, belajar secara dalam talian, tentunya menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Untuk mengatasi masalah ini, YB membekalkan mereka dengan buku kerja, jadi ada 1,000 pelajar yang menduduki SPM di Kuala Pilah, semuanya dapat, melibatkan kos kira-kira RM40,000,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Eddin Syazlee yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kuala Pilah dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Adnan Abu Hassan serta Nor Azman Mohamad dari Pakatan Harapan (PH), Datuk Azman Idris dari Parti Warisan dan Kamarulzaman Kamdias dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau yang bertanding atas tiket PKR pada PRU-14 telah menewaskan calon BN, Datuk Seri Hasan Malek dengan majoriti tipis 200 undi manakala calon Pas, Rafiei hilang deposit.

Jamali yang juga Setiausaha Sulit Eddin Syazlee mendakwa, calon PN bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah itu telah berusaha mendapatkan kelulusan peruntukan untuk bangunan tambahan Hospital Kuala Pilah.

Beliau menambah, Eddin Syazlee banyak menyalurkan peruntukan kepada masjid dan surau di sekitar kawasan Parlimen ini walaupun tanggungjawab itu sebenarnya di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

“Malah, ada masjid dan surau yang menerima peruntukan sehingga mencecah RM100,000,” jelasnya.

Jamali yakin Eddin Syazlee mampu melaksanakan tugas dengan baik sekiranya beliau dipilih semula pada PRU-15 walaupun sebelum ini pernah berdepan masalah jantung.

“Kesihatannya juga semakin pulih dan dia pasti dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk,” katanya. – MalaysiaGazette.