Isham Jalil

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Isham Jalil mahu menumpu dan menyelesaikan masalah asas terlebih dahulu seperti banjir, jalan raya dan bekalan air.

Beliau berkata, tiga masalah asas ini masih gagal diselesaikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang mendakwa mengutip kira-kira RM3 bilion setiap tahun sepanjang pentadbirannya.

“Selain mengutip jumlah hasil yang tinggi, Selangor juga menerima peruntukan untuk projek Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dari kerajaan pusat, tapi jalan tidak dibaiki.

“Kalau Selangor diuar-uarkan sebagai negeri maju dan Shah Alam pula sudah membangun, takkan perkara asas seperti banjir, jalan raya dan bekalan air tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Rozali, di sini, hari ini.

Isham dijemput Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Selangor (DPPMS) untuk mendengar usul Majlis Pimpinan Tertinggi dewan itu berhubung isu semasa di Selangor dan Shah Alam khususnya.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, Shah Alam mempunyai kawasan yang luas dan berstatus bandaraya, tetapi kemudahan asas itu tidak dapat diselesaikan.

Katanya, walaupun Shah Alam diisytiharkan bandaraya, tidak semestinya rakyat hidup senang.

“Sepanjang pusingan pertama kempen saya bermula selepas penamaan calon 5 November lalu, saya jumpa dengan pelbagai peringkat masayarakat. Ada B40, M40 dan sebagainya.

“Semua ini perlu diberi pembelaan dan perhatian. Insya-Allah, saya akan lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast