Keratan akhbar yang melaporkan tentang kematian Tommie T Hanks.

WASHINGTON – Identiti mayat seorang askar Amerika Syarikat (AS) telah dikenal pasti selepas 72 tahun dia dibunuh dan diisytiharkan hilang semasa Perang Korea.

Koperal Tommie T Hanks, ketika itu berusia 27 tahun, terbunuh selepas unitnya cuba berundur dari lokasi berhampiran Anju di Korea Utara pada 1950.

Mayatnya diisytiharkan “tidak boleh dikenalpasti” enam tahun kemudian.

Hampir 7,600 daripada mereka yang terbunuh dalam perang masih tidak dapat dikesan, menurut Jabatan Pertahanan AS.

Agensi Pengiraan POW/MIA Pertahanan (DPAA) berkata, Hanks dilaporkan hilang pada 26 November ketika unitnya cuba berundur dari timur Sungai Ch’ongch’on berhampiran Anju.

“Mayatnya tidak dapat ditemui, dan tiada bukti bahawa dia pernah menjadi tawanan perang,” kata DPAA dalam satu kenyataan.

Usaha mengenal pasti Hank dapat dilakukan selepas Korea Utara menyerahkan 55 kotak yang mengandungi mayat anggota perkhidmatan Amerika yang terbunuh semasa Perang Korea.

Ia berlaku selepas sidang kemuncak antara Presiden Donald Trump ketika itu dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un pada Jun 2018.

Untuk mengenal pasti mayat Hanks, saintis menggunakan analisis antropologi dan isotop, serta bukti keadaan.

Mayatnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Negara Arlington pada tarikh yang belum ditentukan.

Sejak 1982, mayat lebih 450 warga AS yang terbunuh dalam Perang Korea telah dikenal pasti dan dikembalikan kepada keluarga mereka untuk dikebumikan dengan penghormatan penuh tentera.

Jumlah ini adalah tambahan kepada kira-kira 2,000 rakyat Amerika yang mayatnya dikenal pasti pada tahun-tahun selepas berakhirnya permusuhan, apabila kerajaan Korea Utara mengembalikan lebih 3,000 mayat ke AS.

DPAA berkata mayat ratusan anggota perkhidmatan yang masih tidak dapat dikesan diklasifikasikan sebagai “tidak boleh dipulihkan”.

Perang Korea dianggap sebagai konflik paling dahsyat dalam era Perang Dingin, menurut DPAA, dengan menyaksikan 36,500 warga AS menjadi korban. – Agensi