Muhammad Fadhli Shas (tengah). Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan FC mengambil langkah untuk memperkasakan pasukan itu menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan apabila dilaporkan berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain skuad kebangsaan, Fadhli Shas.

Perkembangan itu dikongsikan oleh wartawan sukan, Zulhemi Zainal Azam yang mana Fadhli bakal menjadi pengganti kepada Khuzaimi Piee yang akan berhijrah ke pasukan lain pada musim 2023.

Musim lalu, Fadhli beraksi bersama Melaka United dan pasukan itu tidak akan beraksi dalam saingan musim hadapan ekoran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan Melaka untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pengelola Liga Malaysia itu.

Selain Melaka, Sarawak ­United turut disingkirkan dari Liga Super musim depan walaupun tempoh seminggu diberikan badan First Instance Body (FIB) untuk kedua-dua pasukan menyerahkan beberapa dokumen.

Perkara ini memaksa pemain dan pegawai pasukan untuk mencari pasukan baharu dan Negeri Sembilan nyata memanfaatkan perkara ini dengan mendapatkan pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam kacah liga tempatan seperti Fadhli.

Sementara itu, Khuzaimi tampil cemerlang bersama Negeri Sembilan sekaligus membuat penampilan bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon hingga menyaksikan pasukan yang mahu mendapatkan bagi memperkuatkan barisan pertahanan.

Antara pasukan yang berminat ialah Selangor yang mana skuad Gergasi Merah mahu menyelesaikan masalah di bahagian pertahanan yang menghantui mereka sejak empat musim lalu dan Khuzaimi yang berusia 29 tahun dilihat pemain yang tepat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Selain Khuzaimi, seorang lagi pemain Negeri Sembilan iaitu Syihan Hazmi turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan besar musim hadapan setelah menampilkan prestasi cemerlang di pintu gawang skuad Hobin Jang Hobin.

Syihan dianggap sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dalam negara ketika ini dan beliau juga menjadi calon untuk turun sebagai penjaga gol nombor satu pasukan negara pada saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan bermula pada 20 Disember nanti. – MalaysiaGazette