SABAK BERNAM – Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Ahmad Idham Ahmad Nazri nekad untuk mendedahkan pelbagai isu dalam ceramah meganya di Port Dickson, malam ini.

Beliau yang juga pelakon dan pengarah filem itu berkata, pelbagai isu salah laku melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan didedahkan beliau dalam tempoh kempen yang berbaki kurang lima hari lagi.

“Isu berkenaan antaranya berkaitan keadaan Port Dickson yang dilihat seperti ‘tepu’ sama ada dari segi infrastruktur, fasiliti dan ekonomi penduduk.

“Kenapa perkara itu berlaku dan punca utamanya akan saya bongkar kepada rakyat nanti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan itu, pendedahan dibuat susulan kekecewaan pelbagai golongan masyarakat setempat yang didengarinya sejak tiga tahun lalu.

“Soal terbesar adalah mengenai kepercayaan mereka yang seolah-olah dikhianati dan dipinggirkan.

“Rakyat tidak mahu pihak yang hanya menabur janji bulan dan bintang namun gagal mengotakannya,” jelasnya.

Tambah beliau, Port Dickson sebenarnya sudah bersedia untuk menerima perubahan terutamanya ke arah pembangunan yang lebih holistik.

“Port Dickson mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara lebih serius terutama dalam eko pelancongan.

“Proses semak dan imbang perlu ada di antara kerajaan negeri dan ahli Parlimen dalam memastikan pentadbiran yang lebih tersusun,” katanya.

Selain itu, isu hab pendidikan khas, kebajikan rakyat dan infrastruktur awam menjadi fokus utama sekiranya beliau memenangi kerusi panas itu.

Ahmad Idham bakal berdepan saingan sengit dengan pencabarnya, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan Datuk P.Kamalanathan dari Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi itu menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) 2018 dengan majoriti 23,560 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bukan soal salah laku pesaing tapi apa yg nak dirancang utk tempat yang ditanding.. Perlu bijak apa yang nak disajikan kpd pengundi.. Pengundi dah mual dgn dakwaan yang tiada nilai yg tiada kaitan utk bantu rakyat teruskan kehidupan.

Comments are closed.