Naib Cansleor UUM menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam kepada Noradlie pada Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Sesi 9, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Inspektor Penjara menerima Anugerah Uniutama Education and Consultancy Sdn. Bhd. pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) kali ke-34 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, baru-baru ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Noradlie Abdul Raub berkataa, dia sama sekali tidak menyangka untuk menerima anugerah yang begitu berharga dan bersyukur kepada Allah SWT dengan segala nikmat yang diberikan.

“Alhamdulillah, ini adalah hadiah terindah buat ibu bapa, isteri dan anak-anak yang banyak berkorban sepanjang saya menyambung pengajian.

“Sebagai bapa yang mempunyai empat cahaya mata saya perlu jadikan diri saya sebagai model untuk mereka ikuti dan memberikan motivasi  agar  mengikut jejak langkah untuk dapatkan pendidikan di tahap tertinggi.

“Dalam usia menganjak 40 tahun ini, saya rindukan suasana kampus semasa saya menyambung pengajian dahulu. Di situ kita akan berjumpa rakan pelbagai bidang dan boleh dijadikan motivasi, berkongsi pandangan serta menambah kemahiran yang dikongsikan daripada bimbingan pensyarah.

Tambah Noradlie, jangan pandang hina kepada seorang banduan kerana daripada mereka juga kita boleh mengambil iktibar, pengajaran dan panduan yang berguna dalam menjalani kehidupan yang penuh ujian dan pancaroba.

“Seorang banduan menjadi pembakar semangat sepanjang saya melanjutkan pelajaran. Salah seorang penghuni penjara berjaya membuat diploma, ijazah, sarjana sepanjang menjalani hukuman dan kini sedang membuat ijazah doktor falsafah (PhD), sedangkan saya sebagai manusia normal dan bebas tidak berjaya mencapai apa yang beliau peroleh.

“Jadi saya bulatkan tekad dan berusaha tekun sehingga berjaya menamatkan pengajian penghujung 2021 dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam   kelas pertama di mana saya  mendapat   keputusan 4.0 sebanyak empat kali dan sembilan kali Anugerah Dekan dengan Purata Nilai Gred (CGPA) adalah 3.89,” ujarnya.

Noradlie memulakan perkhidmatan di Jabatan Penjara Malaysia 17 tahun yang lalu dan kini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) Kajang, Selangor.

Walaupun sudah mempunyai pekerjaan yang stabil namun kecintaannya terhadap ilmu terus membara apabila melanjutkan pengajian dan akan terus belajar sehingga di peringkat tertinggi.

Setelah memiliki Diploma Fine Metal Design dan Ijazah terdahulu dalam bidang komunikasi massa di salah sebuah IPTA, beliau memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang lain bagi memberi nilai tambah semasa bertugas di Jabatan Penjara.

“Pesanan pegawai tersemat kukuh, kita perlu mempunyai kemahiran dan ilmu yang pelbagai agar boleh disalurkan kepada perkhidmatan terutamanya untuk membantu Jabatan Penjara Malaysia dalam menjalankan fungsinya sebagai pusat koreksional yang elit di rantau Asia ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada PACE UUM dan pensyarah yang bertungkus lumus membantu, memberi dorongan  serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar. Tanpa sumbangan mereka, saya tidak berada di tahap sekarang,” katanya.  – MalaysiaGazette