Foto Facebook Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin

IPOH – Perikatan Nasional (PN) bukan lagi sebuah parti ‘underdog’ tetapi merupakan sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat khususnya orang Melayu.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, beliau telah menyaksikan gelombang kebangkitan PN dari utara di Kedah dan Perlis, hingga ke Johor dan Pahang.

Gelombang kebangkitan PN juga dapat disaksikan di Perak ketika beliau hadir berkempen di negeri ini.

Katanya, walaupun hujan lebat beliau menyaksikan kehadiran luar biasa dalam program Kita Bersama Wira Kita di Felda Gunong Besout 3 di Sungkai.

“Semalam dan malam tadi juga saya melihatnya di Perak, menerusi sambutan hangat warga Felda Gunong Besout dan Meru di Ipoh.

“Insya-Allah, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, Perikatan Nasional mampu memenangi PRU-5 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat,” kata Muhyiddin.

Kehadiran Muhyiddin di Perak adalah bagi memberikan sokongan khususnya kepada calon parti itu, Datuk Seri Mohd. Faizal Azumu di Parlimen Tambun.

Mohd. Faizal akan berhadapan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Sementara itu Muhyiddin mendakwa parti Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Anwar tidak menghormati hak masyarakat bumiputera.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga mendakwa, banyak tindakan parti tersebut berlawanan dengan Perlembagaan negara.

“Kita juga tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan.

“Ada beberapa contoh kes parti yang dipimpin oleh Anwar ini tidak langsung menghormati hak-hak Bumiputera, malah tindak-tanduk mereka menyanggah Perlembagaan dan hak kaum-kaum lain,” katanya.

Dalam kenyataannya, Muhyiddin juga mahu pengundi di negeri itu menolak calon BN.

“Tidak berapa lama lagi kita akan berdepan dengan PRU-15 dan kita perlu membuat pilihan yang tepat bagi memilih kerajaan terbaik untuk Malaysia.

“Kita tidak boleh salah membuat pilihan. Kita tidak mahu sejarah hitam berulang. Kita tidak mahu UMNO/BN parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali,” katanya.

Beliau mendakwa banyak lagi perkara tidak sepatutnya akan berlaku dan jika dibiarkan akan membawa musibah besar lebih-lebih lagi pemimpin yang dipilih tidak berakhlak.

Justeru beliau mengajak rakyat Perak keluar beramai-ramai dan memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus mengundi dan memenangkan Perak untuk PN.

“PN menawarkan manifesto yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan PH dan BN. PN juga telah terbukti mampu menguruskan negara bukan sahaja krisis kesihatan malah ekonomi.

“Lahirnya PN untuk menawarkan pilihan baharu yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

“PN bukan lagi ‘underdog’ tetapi sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu,” kata Muhyiddin.

Menurutnya PN mampu memenangi PRU-15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas semua pihak. – MalaysiaGazette