KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH) Batu, P. Prabakaran menggesa pencabarnya, Tian Chua berhenti mengelirukan pengundi di kawasan itu terutamanya penyokong PH.
Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan menjelaskan, bekas Naib Presiden PKR itu bukan lagi ahli parti tersebut.
Katanya, Tian Chua yang bertanding sebagai calon bebas perlu berdiri atas kapasiti dan kekuatan sendiri dan bukannya terus bergantung kepada nama PKR dan PH.
“Tian Chua berkata, satu undi untuk beliau adalah sama dengan satu undi untuk PH.
“Pada pandangan saya, kenyataan itu adalah mengelirukan.
“Beliau bertanding atas tiket Bebas dan menentang calon parti sendiri.
“Tindakan ini jelas bersifat berkepentingan peribadi bukan demi kebaikan PH,” katanya semasa sidang media khas di pejabat khidmat wakil rakyatnya di Jalan Ipoh hari ini.
Tambah Prabakaran, tindakan Tian Chua itu juga sedikit sebanyak telah memecah belahkan undi untuk PH dan memberi kelebihan kepada pihak lawan.- MalaysiaGazette