PUTRAJAYA – Sejumlah 1,386 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Anggota Tentera Malaysia (ATM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) mengundi awal di Parlimen Putrajaya, hari ini.
Di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, seramai 746 anggota pelbagai pangkat akan menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Baki 640 anggota ATM akan mengundi di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata, proses undi awal di dua pusat mengundi berjalan lancar.
“Kerjasama semua pihak dapat melicinkan perjalanan undi awal hari ini. Pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) telah menyediakan khemah sekiranya terdapat pesakit Covid-19 dan nereka juga tidak dihalang untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Apa yang penting kita pastikan semua SOP (prosedur operasi standard) sebab kita ada hari pengundian pada 19 November ini,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, Asmadi berkata tiga laporan polis diterima setakat ini di IPD Putrajaya berkisar tentang isu-isu pemasangan bendera dan poster.
“Manalaka satu kertas siasatan dibuka melibatkan kes conteng poster,” katanya lagi.
Calon Parlimen Putrajaya bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang pertama turun bagi meninjau proses mengundi awal adalah dari Gerakan Tanah Air yang mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Mohd Rosli Ramli pada jam 8.40 pagi.
Kedua adalah calon bebas, Lim Fice Bee jam 8.55 pagi dan ketiga calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kira-kira 9.11 pagi.
Terakhir tiba di IPD Putrajaya adalah calon Perikatan Nasional (PN)Datuk Dr Radzi Jidin pada pukul 10 pagi di IPD Putrajaya bagi meninjau proses undi awal.
Kelibat calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz bagaimanapun tidak kelihatan.
Kedua-dua calon BN dan PN yang ditemui media rata-ratanya berpuas hati dengan perjalanan undian awal hari ini.
“Saya lihat dalam dewan mengundi tadi berjalan lancar dan ucapkan syabas kepada SPR dan polis yang dapat mengawal keadaan dengan baik,” kata Tengku Adnan.
“Alhamdulillah proses undian awal berjalan lancar dan baik. Kita lihat ramai yang keluar awal mungkin sebab cuaca mendung,” kata Radzi Jidin. – MalaysiaGazette