Abdul Fattah Abdullah (lima dari kanan) bersama peserta Seminar Infaq Lil-Waqf ANGKASA dan Konvensyen Koperasi Sekolah serta Persidangan Pengetua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Pahang Tahun 2022.

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan sekurang- kurangnya 50 buah koperasi sekolah mencapai perolehan RM1 juta menjelang tahun 2030.

Perkara itu berpotensi dicapai memandangkan koperasi sekolah pada masa ini turut giat terlibat dalam sektor perniagaan yang disertai oleh koperasi dewasa.

Ketika merasmikan Seminar Infaq Lil-Waqf Angkasa dan Konvensyen Koperasi Sekolah serta Persidangan Pengetua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Negeri Pahang Tahun 2022, Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, persepsi orang muda tidak minat berkoperasi adalah tidak tepat sama sekali kerana kira-kira 20 peratus anggota koperasi di negara ini terdiri daripada warga koperasi sekolah.

Menurut beliau, selain berjaya dalam akademik para pelajar juga memerlukan satu platform untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bentuk latihan untuk mendapatkan pengalaman.

”Koperasi sekolah adalah wadah paling lengkap yang menawarkan peluang untuk pelajar belajar berniaga, menjadi usahawan, mentadbir dan mengurus serta mendapat kemahiran insaniah. Malah penglibatan dalam aktiviti koperasi sekolah mampu memperkukuhkan jati diri seperti bersatu padu, tolerasi, kesaksamaan, keadilan, tolong-menolong dan kerjasama selaras dengan prinsip dan nilai yang menjadi pegangan koperasi.

”Usaha menanam ilmu keusahawanan koperasi juga selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan lebih ramai usahawan muda berjaya di masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, koperasi sekolah platform yang paling tepat melahiran usahawan kerana penerapan dan pendedahan kepada budaya dan nilai keusahawanan koperasi merupakan proses pembelajaran yang dapat membuka ruang dan minda pelajar supaya menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya maju.

Kejayaan itu turut diterjemahkan apabila sehingga kini telah ada 14 buah koperasi sekolah yang telah mendapat perolehan melebihi RM1 juta.

”Pembangunan modal insan melalui koperasi sekolah juga diambil serius kerana pihak kerajaan sendiri mahu melihat koperasi menjadi penyelesaian kepada isu menangani kos sara hidup yang membelenggu rakyat saban tahun,” ujarnya. – MalaysiaGazette