PUTRAJAYA – Mesej daripada aplikasi WhatsApp yang tular hari inibmendakwa Tengku Adnan Tengku Mansor memberikan RM300 kepada pengundi luar adalah fitnah semata-mata.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya itu berkata ia adalah fitnah pihak lawan yang cuba mencemarkan nama baik beliau sebagai penyandang kerusi itu.
“Itu adalah satu fitnah yang dilemparkan saya tidak buat begitu. Saya harap sesiapa yang nak bertanding jangan main fitnah sembarangan. Kita ikut apa yang baik untuk kempen kita.
“Tapi puak belah sana saya tidak tahu apa punya tujuan mereka. Saya harap mereka hentikan fitnah sebegini.
“Saya tidak akan bagi duit sebab salah dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pagi tadi.
Semalam, pihak Tengku Adnan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang menafikan dakwaan tersebut.
Ia ekoran tular pesanan di WhatsApp bahawa pengundi-pengundi luar diminta untuk mengisi link bagi tujuan mendapatkan wang saguhati RM300 bagi seorang pengundi. – MalaysiaGazette