MELAKA – Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) yang terperangkap dalam rumah selepas kediamannya dinaiki air diselamatkan anggota bomba, pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Amir Hamid dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.50 pagi tadi dalam kejadian di Taman Dato Tamby Chik Karim itu.
Menurutnya, sepasukan 11 anggota dibantu jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah utiliti Hilux PGC MTL dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba, didapati mangsa lelaki warga emas OKU berusia 73 tahun itu terlantar di katil akibat angin ahmar.
“Banjir mengakibatkan rumahnya dinaiki air setinggi 0.5 meter sebelum kami memindahkannya menggunakan ‘stretcher’ ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri
(Japerun) Kesidang,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan statistik semasa dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, tiga PPS dibuka di negeri ini bagi menempatkan 66 mangsa daripada 21 keluarga mangsa banjir setakat jam 8 pagi tadi,. – MalaysiaGazette