KUALA LUMPUR- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengecilkan saiz Kabinet beliau apabila menerajui kerajaan yang mendapat mandat baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengakui saiz Kabinet lalu terlalu besar, Ismail Sabri berkata barisan Jemaah Menteri di bawah kepimpinannya selepas ini akan terdiri daripada mereka yang memiliki pelbagai kepakaran.
Katanya, selain ahli politik, pembentukan Kabinet dengan kepelbagaian kepakaran itu akan membabitkan golongan teknokrat.
“Memang terlalu besar dan pastinya saya akan mengecilkan Kabinet saya,” katanya dalam Bual Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran bersama Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri yang disiarkan oleh Bernama TV dan beberapa stesen televisyen tempatan malam ini.
Sekiranya diberi peluang untuk terus mentadbir negara, Ismail Sabri akan memperkasa semua agensi dan jabatan kerajaan selain menangani kerenah birokrasi yang melampau.
“Kelulusan ini kadang-kadang menghindarkan kemasukan pelabur asing ke negara kita dan jika dibandingkan dengan negara lain, setiap kelulusan itu terpaksa tunggu lama. Kerenah birokrasi merupakan kerenah yangg perlu diberikan fokus,” katanya.
Perdana Menteri berkata juga akan memberi perhatian untuk mengubah dasar luar supaya Malaysia kembali menyerlah di peringkat antarabangsa selepas kurang menyerlah disebabkan pandemik COVID-19.
“Kita mesti kembalikan keagungan lepas dari segi peranan kita dengan dasar luar kita. Kita perlu dilihat lebih terlibat dan kehadiran kita dalam memperjuang isu besar dirasai oleh dunia,” katanya.
Menyedari kos sara hidup menjadi perbualan rakyat, Ismail Sabri berjanji untuk memberi fokus terhadap isu tersebut selari dengan manifesto Barisan Nasional (BN) namun mengakui ia satu perkara besar kerana dipengaruhi ketidaktentuan di peringkat global.
“Walaupun kita telah adakan Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi dan sebagainya tapi kita akan tambah baik setiap kelemahan yang ada kerana yang paling penting bagi rakyat adalah isu harga barang yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa usaha membasmi kemiskinan bukanlah sesuatu yang klise sebaliknya ia perkara yang perlu diperjuang malah kerajaan mahu menghapuskan miskin tegar pada 2025 sebagaimana termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12. – BERNAMA