Laskar Kanan TNL, Muhamad Hanif Jamil mengundi awal di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut hari ini.

LUMUT – Keadaan laluan lintas menuju Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, mula sesak jam 7 pagi pada hari mengundi awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Walaupun hujan, ia tidak menghalang anggota pasukan keselamatan menunaikan tanggungjawab mereka dengan deretan kenderaan hampir satu kilometer menghala ke pusat pembuangan undi.

Parlimen Parlimen Lumut mempunyai 8,327 pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan dan daripada jumlah itu seramai 787 orang adalah pengundi pos.

Sebanyak tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM, Sekolah kebangsaan (SK) Pangkalan TLDM dan SK Pangkalan TLDM 2 dijadikan pusat mengundi dengan 18 saluran disediakan untuk mengundi.

MalaysiaGazette yang berkesempatan meninjau proses pembuangan undi dalam kalangan anggota TLDM mendapati barisan panjang parajurit yang menanti dengan sabar giliran mereka memilih wakil rakyat untuk Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri Pangkor.

Tidak ketinggalan Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Kamaruddin Omar turut menunaikan tanggungjawab sebagai warha malaysia di SMK Pangkalan TLDM pada jam.

Turut kelihatan berada di sekolah sama Panglima Pasukan Khas Laut (Paskal), Laksamana Pertama Datuk Mohd Redzuan Talib dan Komander Pangkalan TLDM Lumut, Laksamana Pertama Noor Zukhi Harun.

SepertiĀ  biasa, beberapa calon Parlimen Lumut iaitu Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli (Pakatan Harapan) Datuk Seri Dr. Zambry turun padang meninjau proses pembuangan undi awal 10 minit kemudian. – MalaysiaGazette