MELAKA – Keadaannya yang lumpuh separuh badan tidak menghalang seorang anggota polis melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pagi ini.

Itu semangat kenegaraan ditunjukkan Koperal Siti Nor Maslinda Nordin, 43, yang hadir berkerusi roda untuk membuat undi awal kira-kira pukul 8.25 pagi tadi sambil dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, keadaannya itu berpunca selepas terlibat dalam kemalangan 13 tahun lalu ketika pulang dari tugas di Balai Parit, Bandar Seri Iskandar, Perak.

“Kejadian pada 2009 itu berlaku apabila kenderaan dipandu terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas.

“Waktu itu mungkin saya terlalu penat kerana sehari sebelumnya, saya terlibat dalam sukan bola jaring dianjurkan Kontinjen Perak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Ibu tiga anak itu, tragedi hitam tersebut bagaimanapun tidak melunturkan semangatnya untuk terus berkhidmat sehingga kini yang sudah menjangkau 24 tahun.

“Saya baru dipindahkan ke IPK Melaka dua tahun lalu bertugas di bawah Jabatan Pengurusan bahagian pelesenan,” katanya.

Seramai 2,504 pegawai dan anggota polis di Melaka melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di semua 24 pusat mengundi termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka dan tiga Ibu Pejabat Polis Daerah. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast