Calon PH kerusi Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail ketika berkempen di Warung Aja, Kuantan hari ini.

KUANTAN  – Hari kesebelas berkempen hari ini memperlihatkan sokongan kaum bukan Melayu kepada pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Calon PH kerusi Parlimen Indera Mahkota, Zuraidi Ismail berkata, kaum Cina dan India di kawasan itu dilihat menyokong perjuangan Pakatan PH menjelang Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15).

“Kaum bukan Melayu memberikan sokongan penuh PH bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) diketepikan di Indera Mahkota daripada menang PRU15 ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika berkempen di Warung Aja di sini hari ini.

Sementara itu, Zuraidi menyifatkan keputusan undi awal hari ini bukan penutup segalanya kerana ia tidak signifikan berbanding pada penentuan sebenar pada 19 November ini.

“Kita sedia maklum sebab undi awal kepada pemerintah. Undi ini tak signifikan sebab ambil 2,000 sahaja. Kalau PH dapat 50 peratus dari pada undi awal itu sudah kira bagus,” katanya.

Menurut beliau, melihat gelombang sokongan kepada parti itu, beliau yakin PH dapat menawan Indera Mahkota pada 19 November nanti.

Zuraidi akan berdepan Datuk Quek Tai Seong (BN – MCA) dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN – Bersatu) pada PRU15 nanti. – MalaysiaGazette