Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Besar Perak yang juga calon Barisan Nasional (BN) N. 04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad (tiga kiri), calon Barisan Nasional (BN) P.062 Sungai Siput, Tan Sri S.A. Vigneswaran (dua kiri) dan calon Barisan Nasional (BN) N.21 Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun (kiri) ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra bersama Keluarga FELDA Lasah ketika di Dewan Semai BaktiFelda Lasah, Sungai Siput, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2022.

SUNGAI SIPUT – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin tidak dapat menerima hakikat kejayaan yang dibawa dalam pentabiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, serangan Muhyiddin terhadap beliau jelas menunjukan bekas perdana menteri kelapan itu tidak berpijak di bumi nyata.

Ismail Sabri menambah, angka-angka ekonomi yang dikeluarkan oleh badan dunia menunjukkan pentadbiran beliau berjaya memacu pembangunan negara.

“Bbagaimana mereka boleh kata kita gagal sedangkan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Malaysia meningkat lima peratus pada suku pertama.

“Suku kedua pula mencatatkan 8.9 peratus, salah satu tertinggi di Asia Tenggara dan yang terbaharu suku ketiga 14.2 peratus tertingga di Asia Tenggara.

“Dari segi pengangguran kita kurangkan dari lima peratus, jadi 3.6 peratus. Siapa yang gagal? Angka tidak menipu. Angka sangat jelas menunjukkan kita berjaya,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Malaysia di Felda Lasah di sini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang akan mempertahankanan Dewan Undangan Negeri Kota Tampan dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran yang bertanding di Parlimen Sungai Siput

“Yang tak berjaya adalah mereka, dan tidak boleh menerima hakikat bahawa kita berjaya.

“Mereka nak kata kita tak berjaya, tunjukkan angka anda. Saya tunjukkan angka saya yang memaparkan kejayaan.

“Masa ambil alih (pentabiran) daripada Pengerusi Perikatan Nasional jumlah Covid-19 adalah 24,000. Angka tertinggi dalam negara. Kematian beratus, katil hospital hampir tidak cukup. Ekonomi merudum teruk,” kata Ismail Sabri.

Malah menurut Ismail Sabri, semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri situasi politik tidak aman.

Hanya ketika pentabiran beliau situasi politik menjadi damai selepas membuat perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan

“Waktu dia memerintah huru-hara dari segi politik negara. Saya memerintah, saya jadi PM, MoU antara pembangkang dan kerajaan berlaku dalam sejarah negara.

“Kita tandatangan dengan pembangkang seperti satu genjatan senjata dan tengok politik semakin stabil. Ini saya anggap sebagai satu kejayaan yang dia tidak capai waktu memerintah.

“Kalau nak main politik, mereka boleh. Saya bercakap dari segi fakta,” tegas Ismail Sabri.

Penyandang Parlimen Bera itu menjawab soalan media mendakwa pemimpin Perikatan Nasional mempertingkatkan serangan terhadap beliau menjelang pilihan raya yang berbaki dua hari lagi.

Ini termasuk menuduh Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang gagal dan tidak tegas.-MalaysiaGazette