Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai mengambil keterangan daripada pelakon Zul Huzaimy yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan ugutan dalam satu ceramah, semalam.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihak polis masih menunggu laporan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Ia kemudiannya akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Noorsiah memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadap pelakon lelaki itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Zul Huzaimy turut disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, individu berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.- MalaysiaGazette