Tiket pengangkutan awam laris semepena Pilihan Raya Umum ke-15 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tiket bas ekspres diibaratkan bagaikan pisang goreng apabila laris terjual sejak minggu lalu apabila warga kota tidak mahu melepaskan peluang balik mengundi pada 19 November ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bas Bersepadu (TBS) mendapati orang ramai telah mula merancang perjalanan mereka dengan membeli tiket lebih awal supaya dapat menjalankan hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Luqman Amir Affendy, 19, berkata, dia sudah membeli tiket bas lebih awal secara atas talian untuk pulang ke Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 17 November ini.

Katanya, pembelian dibuat sebaik sahaja Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju memberi pelepasan kepada pelajar selama lima hari untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Luqman Amir Affendy

“Saya beli dua minggu lepas selepas sahaja pengumuman dibuat KPT. Saya beli awal ini sebab dah boleh jangka kalau beli lambat akan cepat habis, ya lah rakyat sekarang sudah cakna untuk balik mengundi. Kalau lambat tiket akan habis dan harga pula mungkin tinggi.

“Sebenarnya ini kali pertama saya akan mengundi, jadi saya tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab kerana undi kita yang akan mencorakkan masa depan negara,” katanya pada MalaysiaGazette.

Mohd Nasiruddin Mohd Nor, 24, yang bekerja sendiri pula berkata, dia memutuskan untuk pulang ke kampung di Melaka lebih awal untuk mengelak sebarang kemungkinan yang tidak diingini kerana sekarang musim tengkujuh.

“Saya beli tiket ke Melaka secara walk-in. Beli awal ini sebagai langkah berjaga-jaga sebab sekarang musim banjir kita takut macam-macam boleh jadi, so balik awal ini memudahkan untuk kita bersiap sedia nak mengundi nanti.

“Pada saya keputusan yang baik kalau balik awal, saya pula pertama kali nak mengundi. Ia merupaka kewajipan sebagai rakyat untuk memilih kerajaan mana yang boleh memimpin dan membantu rakyat dengan sebaiknya,” ujarnya yang ditemui selepas membeli tiket bas.

Muhd Nasiruddin Mohd Nor

Dalam pada itu, MalaysiaGazette berkesempatan menemu bual keluarga yang baru sahaja tiba dari Sandakan, Sabah untuk pulang mengundi awal di Kuantan, Pahang.

Noor Maliana Derahman, 37, berkata, dia bersama suami dan dua orang anaknya baru tiba dari Sabah terus ke TBS untuk pulang menaiki bas ke Pahang.

“Kami sekeluarga memang dah rancang lama untuk pulang awal dari Sandakan sebab suami saya bekerja sebagai tentera laut di sana dan kami akan mengundi awal pada 15 November ini di Tanjung Gelang.

“Kami takut tiket bas habis awal,  itu sebab cepat-cepat beli. Sekarang ini pun baru dapat beli tiket, untuk pukul 8 malam sudah habis, hanya tinggal 10 malam sahaja terpaksa jugalah sebab fikir nak menjalankan tanggungjawab untuk mengundi kerajaan pada pilihan raya ini,” jelasnya.

Noor Marliana Derahman

Sementara itu, Pengarah Urusan Maju Tmas Sdn Bhd, Datuk Roslan Shariff berkata sebanyak 96 peratus daripada 270,000 tiket yang disediakan pihaknya sejak minggu lalu bagi perjalanan dua hala selama enam hari bermula 16 November ini habis dijual.

“Sejak akhir bulan Oktober, kesemua tiket yang dijual secara atas talian dan di kaunter habis terjual. Kita juga dimaklumkan tambahan lebih 20,000 tiket bas akan disediakan oleh pengusaha bas bagi memberikan perkhidmatan kepada pengguna pulang mengundi.

“Kebanyakan perjalanan bermula dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke destinasi bandar utama seperti Pulau Pinang, Butterworth, Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Melaka, Ipoh, Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Terengganu, Kuantan, Batu Pahat dan Muar,” katanya.

Roslan Shariff.

Tambah Roslan, pihaknya juga menganggarkan pertambahan mendadak sebanyak 47 peratus dengan purata 22,000 penumpang akan menggunakan bas setiap hari sepanjang musim pengundian.

“Kita menganggarkan 1,200 jadual sehari bermula 17 hingga 21 November membabitkan bas yang menggunakan lesen Laluan Perubahan Sementara (LPS) yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Saya sarankan orang ramai untuk membeli tiket bas lebih awal secara atas talian bagi mengelak kehabisan tiket di kaunter dan berlaku kesesakan hingga beratur panjang.

“Selain itu, pastikan anda membawa dokumen diri serta tambang secukupnya bagi melancarkan urusan pembelian tiket,” ujarnya.

Orang ramai yang memilih membuat pembelian tiket melalui dalam talian boleh layari www.tbsbts.com.my atau muat turun aplikasi TBS. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast