Zainol Samah

MELAKA – Polis Melaka membuka lima kertas siasatan berkaitan perbuatan khianat sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Ketua Polis, Datuk Zainol Samah berkata, ia dilakukan selepas pihaknya menerima 10 laporan sehingga hari kesepuluh kempen semalam.

“Setakat ini, proses kempen PRU15 berjalan lancar tanpa sebarang insiden serius kecuali kita menerima 10 laporan polis berkaitan perbuatan khianat setakat semalam.

“Daripada jumlah itu, lima kertas siasatan telah dibuka akibat perbuatan khianat kebanyakannya berkaitan bendera parti di semua daerah di negeri ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zainol berkata, seramai 2,504 pegawai dan anggota akan melaksanakan undi awal di 24 pusat mengundi iaitu 860 orang di IPK Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah (764), IPD Alor Gajah (623) dan IPD Jasin (227).

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 28.59 peratus atau 3,602 pengundi awal sudah menjalankan tanggungjawab mereka setakat jam 10 pagi tadi. – MalaysiaGazette