Johnny Ch’ng (kiri) berbual dengan pengunjung pasar malam ketika melakukan walkabout kempen PRU15 selaku calon bebas di Parlimen Balik Pulau.

BALIK PULAU – “Oh calon bebas logo Traktor, saya boleh undi kamu tapi kami mahu ‘Yang Berkhidmat’ bukan ‘Yang Berhormat’ (YB),”.

Itu reaksi salah seorang penduduk Balik Pulau ketika disapa calon Bebas kerusi Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee ketika mengadakan walkabout menyampaikan visinya sekiranya dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Meskipun kehadiran calon bebas itu bukan bersama jentera besar seperti parti politik lain namun penerimaan penduduk setempat amat menggalakan sehingga ada yang meminta bahan kempen anak jati Balik Pulau itu untuk diagihkan secara sukarela.

Johnny Ch’ng berkata, berdasarkan penerimaan penduduk terhadap calon bebas sepertinya menunjukkan rakyat sudah muak dengan calon daripada parti politik sebaliknya memilih pemimpin dalam kalangan orang biasa untuk mewakili dan membawa suara mereka ke peringkat Parlimen.

“Dulu masyarakat setempat susah nak terima calon bebas tapi trend sekarang amat berbeza mereka lebih suka untuk mendekati kita.

“Malah, saya sendiri berpendapat bertanding atas tiket calon bebas tidak akan terikat dengan mana-mana parti selain mampu jadi lebih neutral dalam membawa suara rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, malam tadi.

Peniaga pasar malam sempat berkongsi dilema mereka dengan Johnny Ch’ng.

Ketika ditanya mengapa memilih Balik Pulau sebagai lokasi persaingan, Johnny Ch’ng mendakwa, ia dilakukan atas pilihan ibunya, Chua Baby yang sering mengadu anak muda di kampung halaman mereka di Kuala Sungai, di sini, terpaksa berhijrah demi mencari rezeki.

“Keadaan itu membuatkan warga emas di sini terpaksa berjauhan dengan anak sehingga hilang seri jolokkan kawasan ini yang sentiasa ceria dengan kehidupan kampung harmoni bersama sanak saudara.

“Selain itu, memandangkan saya ini anak jati Balik Pulau yang berjaya dalam perniagaan, setiap hari ada saja orang mohon bantuan jadi ikutkan sudah bertahun saya buat kerja ‘yang berkhidmat’ tanpa angkat sumpah,” katanya.

Menurut ahli perniagaan peralatan sukan itu, tidak banyak yang dikongsikan berkaitan politik sepanjang lebih 10 hari berkempen, sebaliknya beliau lebih membawa indentiti selaku ahli perniagaan untuk menaikkan nama Balik Pulau di persada antarabangsa.

“Kita tak nak komen pasal politik, rakyat sendiri sudah tahu siapa mereka masing-masing, jadi lebih baik kita fokus apa yang kita nak buat,” jelasnya.

Parlimen Balik Pulau menyaksikan pertandingan enam penjuru dengan dua calon Bebas iaitu Johnny Ch’ng dan Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang akan bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Empat calon lagi adalah Datuk Mohamad Bakhtiar Wan Chik (PH), Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN), Mohd Harris Idaham Mohd Rashid (PN) dan Ahmad Fazli Mohammad (GTA). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast