Anggota polis membuang undi pada Hari Pengundian Awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 November 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 19,457 pegawai kanan dan anggota PDRM yang berdaftar sebagai pengundi awal sedang melaksanakan tanggungjawab mereka bermula 8 pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) KL sahaja seramai 1,464 pegawai dan anggota polis mengundi awal kali ini.

“Bagi seluruh Kuala Lumpur termasuk IPK KL sebanyak 25 pusat daerah mengundi awal dibuka dan setakat ini kita daftarkan hampir 46 peratus keluar undi awal daripada keseluruhan pengundi berdaftar undi awal mambabitkan anggota polis di ibu negara.

“Proses mengundi berjalan lancar dan harmoni tanpa sebarang masalah di kaunter semakan daftar pengundi mahupun di saluran peti undi awal termasuk di kontinjen kami dan berharap menjelang jam 5 petang semuanya dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu beliau hadir meninjau proses perjalanan undi awal yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya di IPK KL tengahari tadi.

Tambah beliau, pihaknya berpuas hati dengan tahap persiapan dan perjalanan proses undi awal yang sangat teratur setakat ini.

Dalam perkembangan sama, beliau juga memberitahu,  pihaknya juga menerima pesara polis yang belum menukar alamat mereka tampil mengundi awal pada hari ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast