14 PATI Indonesia termasuk wanita antara dicekup sejurus mendarat di hentian Bas Jalan Duta pagi semalam selepas menceroboh masuk negara secara haram menggunakan cop pemeriksaan imigresen palsu di Perlis. Ihsan JIM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki Malaysia melalui sempadan negara menggunakan cop palsu Imigresen semalam.

Mereka memasuki negara melalui Chuping, Perlis sebelum dibawa ke ibu negara dengan menaiki bas khas yang disediakan ejen, diberkas dalam satu operasi di hentian bas Jalan Duta di sini pada jam 10 pagi.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dijalankan setelah menerima maklumat awam terdapat sekumpulan 14 orang PATI  yang akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas.

“PATI berkenaan dipercayai baharu masuk ke negara ini secara tidak sah melalui laluan haram di sekitar Chuping, Perlis.

“Berdasarkan maklumat awam itu, pasukan operasi telah berjaya mengesan bas yang membawa PATI di lebuh raya dan bertindak mengekori sehingga tiba ke hentian bas Jalan Duta.

“Sebaik tiba di hentian bas Jalan Duta, pasukan operasi melakukan pemeriksaan ke atas penumpang bas tersebut dan berjaya menahan sembilan orang lelaki dan lima perempuan kesemuanya warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua 14 orang PATI yang diberkas itu berusia antara 15 hingga 49 tahun.

Katanya, semakan lanjut ke atas pasport kesemua mereka mendapati ada cap keluar Imigresen Thailand dan cap masuk Imigresen Malaysia (Padang Besar) yang disyaki palsu.

Manakala lapan orang telah disenarai hitam daripada memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan jenayah lampau di negara ini dan selebihnya tidak memiliki sebarang rekod kemasukan.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah membawa PATI menaiki pesawat dari Indonesia ke Thailand sebelum masuk ke Malaysia melalui laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Mereka berjalan kaki sebelum menaiki kenderaan ke lokasi yang ditetapkan untuk menaiki bas menuju ke ibu negara,” katanya lagi.

Katanya, kesemua PATI mengaku mereka membayar kepada ejen di negara mereka sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 untuk urusan kemasukan ke dalam negara ini.

Khairul turut mendedahkan kesemua PATI juga mengaku tidak menjalani pemeriksaan imigresen semasa masuk dan hanya ejen yang menguruskan pasport mereka semasa berada di rumah penampungan.

“Soal siasat lanjut juga mendapati tujuan mereka masuk ke dalam negara ini untuk bekerja semula di tempat lama di sekitar ibu negara dan dengan majikan baru yang telahpun diatur awal.

Mereka kini ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah akta yang sama, ujar beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast