Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sejumlah 52 peratus responden mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberikan peluang untuk mentadbir Putrajaya buat kali kedua, kata Ilham Centre.

Kajian bertajuk ‘Kajian Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia’ mendapati rakyat negara ini rata-ranya berpendapat Ismail Sabri layak untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Dengan skor 52.8 peratus yakin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar diberi peluang untuk memimpin negara dengan mandat penuh adalah “endorsement” penting buat beliau,” kata Ilham Centre dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ilham Centre, kajian yang dilakukan secara spesifik itu mengukur tahap penerimaan pengundi terhadap dasar, insentif dan tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri sepanjang pentadbiran beliau selama 13 bulan.

Dalam kajian itu, sejumlah 80 peratus respoden bersetuju pembukaan semula ekonomi pada 1 April lalu lalu merupakan tindakan tepat dan Ismail Sabri dilihat berjaya mengeluarkan negara daripada pandemik Covid-19.

“80 peratus setuju pembukaan semula ekonomi pada 1 April yang dilaksanakan Perdana Menteri adalah tepat pada waktunya.

“Sementara hanya 6.5 peratus tidak setuju dan 13.5 peratus daripada responden tidak pasti,”

Ekstrak dari dapatan utama kajian tersebut difokuskan lebih kepada tahap penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri dan dasar yang beliau telah perkenalkan.

Dalam pada itu, 78 peratus responden juga bersetuju subsidi tahunan sebanyak RM77.7 bilion adalah perlu untuk menyokong pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia.

Malah, 87.2 peratus turut bersetuju Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) fasa ketiga patut diteruskan.

Dalam kajian itu juga, responden merasakan Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah satu pembaziran.

“Sejumlah 39.9 peratus responden merasakan MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pembaziran wang negara dan menyukarkan usaha Ismail Sabri untuk menyelesaikan masalah rakyat,” kata Ilham Centre.

Dalam isu ekonomi, isu terkait rapat kepada rakyat jauh lebih menjadi keutamaan.

Ia dibuktikan apabila 84.1 peratus bersetuju usaha kerajaan melalui penetapan tarif elektrif serta kawalan harga barang keperluan asas perlu diteruskan untuk mengurangkan kesan buruk daripada tukaran matawang asing berbanding ringgit dan inflasi yang dihadapi dunia pada ketika ini, kata badan penyelidik itu.

“Ini berjaya membuktikan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah tepat bersesuaian pada waktunya.

“Perdana Menteri yang digelar “Designated Survivor” (penyelamat yang dilantik) sememangnya “survived” mengurus krisis dalam krisis iaitu krisis kesihatan, politik dan ekonomi sepanjang pentadbiran beliau 13 bulan lalu dengan gaya kepimpinan beliau yang tersendiri,” katanya. – MalaysiaGazette