Wan Saiful (kiri) ketika menyampaikan sidang media di Bilik Gerakan PN, Tasek Gelugor di sini, hari ini.

SEBERANG PERAI –  Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan  Perikatan Nasional (PN) sebuah parti yang kaya.

Sebaliknya, Wan Saiful mendakwa Anwar merupakan individu yang kaya susulan mengumumkan tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Kalau tengok betul-betul yang kaya ini Anwar Ibrahim seorang saja, sebab itu dia tak perlu ambil gaji kalau jadi Perdana Menteri.

“Jadi yang tolak gaji ini mesti dah kaya dah, cuba cerita sikit mana dia dapat harta? Sebelum tuduh orang,” katanya pada sidang media di bilik Gerakan PN di Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini ekoran banyak memperolehi projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.

Dakwa Anwar, semasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Menjawab dakwaan Anwar, Muhyiddin mencabar Pengerusi PH itu agar  mengemukakan bukti berkenaan dakwaan PN merupakan gabungan politik yang paling kaya ketika ini.

Menurut Muhyiddin, Anwar hanya membuat fitnah semata-mata tanpa mengemukakan sebarang bukti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.