Temubual khas bersama Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2022.

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor perlu menilai prestasi yang dicapai kerajaan negeri pada hari ini, yang berjaya membawa semula pelabur masuk selepas pentadbiran dikuasai semula oleh Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ketika ditadbir oleh Pakatan Harapan, Johor berada di tangga keenam dan ketujuh dari segi pelaburan.

Namun selepas diambil alih semula oleh BN, pelaburan di negeri ini berada pada kedudukan nombor satu dalam negara apabila berjaya mencapai RM60.9 bilion bagi separuh pertama tahun ini.

Katanya, ia adalah satu pencapaian yang cukup tinggi berbanding Selangor yang menjadi negeri kedua tertinggi dengan angka pelaburan hanya RM15 bilion, bagi tempoh tersebut.

“Jadi, rakyat Johor nampak dengan ada kestabilan ekonomi kita boleh berkembang dan ekonomi kembali kukuh.

“Apabila ekonomi kita kukuh maka semua pelabur akan masuk dan ini bermakna akan ada lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Johor,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam temubual eksklusif di kediaman rasmi beliau di sini.

Dalam perkembangan lain Onn Hafiz berkata, ramai rakyat Malaysia terutama di Johor mahukan perubahan dengan harapan perubahan itu akan dapat membantu mereka.

Mengambil contoh pekebun kecil yang terlibat dengan aktiviti mengutip hasil dari tanaman kelapa sawit, beliau berkata, harga bagi bahan komoditi itu telah merudum teruk.

Namun cara untuk mengembalikannya seperti sediakala hanyalah dengan memilih kestabilan seperti ditawarkan oleh parti BN.

Temubual khas bersama Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2022.

Meskipun mengakui BN tidaklah begitu sempurna namun parti itu sentiasa membaiki kelemahannya,.

Tambahan pula, BN mempunyai pengalaman cukup luas dalam menguruskan negara berbanding parti yang hanya mentadbir negara selama 22 bulan.

“Kekuatan BN juga sangat bagus dengan kerjasama berpasukan yang ada, baik dari MCA mahupun MIC. Kita bekerja secara kolektif dan track record kita juga membuktikan kita mempunyai pemimpin yang boleh mentadbir,” ujarnya lagi.

Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, turut merayu kepada Bangsa Johor supaya memberikan negeri ini sebuah kerajaan pusat yang selari dengan pentadbirannya, agar pembangunan negeri ini akan lebih mudah dilaksanakan.

Katanya, beliau mempunyai hasrat untuk melebarkan lagi lebuh raya yang menghala ke Johor dan semua itu dapat dicapai sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat sekali lagi sebagai Perdana Menteri.

“Niat saya ialah untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030. Tetapi kalau kerajaan tidak selari, macam mana nak lebarkan lebuh raya kita.

“Inisiatif ini semua telah pun disebut dan akan dibuat secara berfasa mengikut Bajet 2023 yang dibentangkan. Tetapi kalau PH pegang (semula pentadbiran negara) tidak mungkin kita akan dapat apa (penambahbaikan infrastruktur) yang diminta.

“Jadi, jangan ambil risiko…saya merayu sangat. Jangan kita buang lima tahun lagi, kerana ia adalah satu tempoh masa yang lama dan berharga,” tambahnya. – MalaysiaGazette