Calon Bebas Parlimen Ampang, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos bercakap kepada MalaysiaGazette di Lembah Jaya, Ampang. Foto: NIZAM ZAIN

AMPANG – Tiada mana-mana pihak menaja calon Bebas Parlimen Ampang, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos sama ada untuk memecahkan undi mahupun mengalihkan sokongan daripada penyandangnya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Sebaliknya anak jati Ampang itu hanya sekadar memberi pilihan kepada pengundi dengan calon yang tidak mewakili parti politik yang bergolak dan penuh kontroversi hingga gagal menjaga rakyat dengan sebaiknya.

“Saya tidak terlibat dalam perkara itu, memang ada orang bercakap begitu, bila nampak saya kadang-kala poster latar belakang biru, ada yang kata BN (Barisan Nasional), kalau warna biru pekat sikit, kata PN (Perikatan Nasional).

“Ini semua adalah persepsi orang. Saya memang bebas, guna dana sendiri, kita hadkan dana untuk sampai kepada semua orang. Rakyat mempunyai pilihan di Ampang, anak jati dan sudi berkhidmat untuk mereka.

“Kalau tak nak pening kepala, tak nak fikir politik yang ada isu, sampai sekarang masih bergaduh, jadi boleh pilih saya, bagi peluang kepada saya sebagai anak jati, Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Zuraida sejak 2008 menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan sembilan penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU14 Zuraida memenangi kerusi Parlimen Ampang atas tiket PKR, namun kali ini beliau mempertahankan kerusi itu atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Zuraida dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen sebagai calon mewakili BN, Rodziah Ismail (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).

Selain Muhammad Shafiq Izwan, turut bertanding, Lai Wai Chong (Warisan) dan dua lagi calon bebas, iaitu Tan Hua Meng dan M Raveendran.

Calon Bebas Parlimen Ampang, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos bercakap kepada MalaysiaGazette di Lembah Jaya, Ampang.
Foto: NIZAM ZAIN

Ditanya tentang personaliti dirinya dikenali penduduk di Ampang, Muhammad Shafiq Izwan berkata, sebagai anak kelahiran dan membesar di kawasan selatan Selangor, beliau bukan seseorang yang asing di situ.

“Saya setakat ini, Alhamdulillah nak kata satu Ampang kenal saya itu agak mustahil, tetapi saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ampang, jadi rakan sekolah saya ramai di situ.

“Sekolah Menengah Taman Kosas Ampang pun saya ada ramai rakan sekolah, saya tinggal di belakang bukit ini (Lembah Jaya), jadi kawasan ini biasa saya berjalan, kawasan Bukit Indah biasa saya makan, Ampang Point pun sama juga.

“Bila saya pergi berjumpa dengan mereka seorang demi seorang ini dalam komuniti, mereka akan cakap, kita biasa nampak ini, kita kenal ini, anak saya satu sekolah dengan saya.

“Jadi mereka tahu saya, cuma publisiti jadi masalah kepada saya sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast