Anwar Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2022.

AMPANG – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi di Ampang menyingkirkan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Presiden PKR itu menyifatkan Zuraida sebagai pengkhianat kerana meninggalkan parti selepas memenangi kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah tiket PH.

Menurut Anwar, Zuraida juga sudah menerima akibat daripada perbuatannya itu apabila terpaksa mengemis undi di tepi jalan.

“Jangan bagi undi kepada pengkhianat. Biar dia rayu ditepi jalan. Baru dia tahu, dulu bukan main bye bye Anwar,” katanya pada Ceramah Pilihan Raya Ampang di sini malam ini.

Semalam, Zuraida yang juga Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat sanggup membahayakan diri dengan berdiri di tengah jalan untuk berkempen bagi meraih undi pada PRU15.

Tular video berdurasi 30 saat di media sosial memaparkan beliau memegang plakad sambil berdiri di atas pembahagi jalan.

Difahamkan, video itu dirakam ketika Zuraida bersama penyokongnya hadir pada flashmob di jalan utama berhampiran stesen minyak Ampang Jaya pada pagi Selasa.

Tindakan merbahaya tersebut telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna media sosial.

Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Zuraida sejak 2008 menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan sembilan penjuru pada PRU15.

Beliau yang memenangi Parlimen Ampang atas tiket PKR pada PRU14, bagaimanapun mewakili PBM pada kali ini dalam usaha mempertahankan kerusi itu.

Selain Zuraida Parlimen Ampang turut ditandingi Rodziah Ismail (Pakatan Harapan),  Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (PEJUANG)  dan Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional).

Turut bertanding, Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast