MAQIS Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup produk tenusu dan tuna dalam tin ke dalam negara ini di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin lalu. Foto: MAQIS

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Selangor menumpaskan cubaan menyeludup produk tenusu dan tuna dalam tin ke negara ini menerusi serbuan di Pelabuhan Klang Barat pada Isnin lalu.

Sebanyak 432 kotak produk tenusu dan 300 kotak tuna dalam tin dari Arab Saudi yang baru diimport dirampas selepas pemeriksaan mendapati barangan yang dibawa masuk itu tidak diikrar pada borang Kastam dan tiada permit import MAQIS.

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, kesemua dagangan tenusu dan tuna dalam tin itu dirampas dari sebuah kontena.

“Kontena yang membawa produk berkenaan kesemuanya bernilai RM45,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesemua barang dagangan tersebut ditahan dan disita untuk tindakan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 11 (3), Akta yang sama.

Tambah beliau, akta tersebut memperuntukan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya dija disabitkan kesalahan..

“Pihak MAQIS akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

“Pemeriksaan itu juga bertujuan bagi memastikan pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette