KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan kebimbangannya terhadap pengundi muda atas pagar berumur antara 18 hingga 20 tahun yang akan mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada Sabtu ini.
Calon Barisan Nasional (BN) Titiwangsa itu berkata, ini kerana golongan berkenaan mudah terpengaruh dengan isu yang dipermainkan media sosial berbanding menyemak fakta.
“Pengundi atas pagar ini memang belum buat keputusan dan mereka akan berpandukan isu yang berlegar atau dibuat-buat dalam media sosial. Jadi, ini adalah isunya dan akan menjejaskan mereka sebab tidak sempat hendak cari kepastian.
“Sebab itu, saya akan terus berjumpa pengundi dalam tempoh berbaki kempen ini supaya menerangkan kepada mereka perkara sebenar. Apa yang saya selalu tegaskan adalah mereka perlu sentiasa buat analisa terhadap rekod setiap calon,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Berdasarkan hasil kajian landskap persepsi rakyat Malaysia pada PRU15 yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE), Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) dijangka bersaing sengit dalam menambat hati pengundi.
PH memperoleh 30.7 peratus sokongan pengundi di Malaysia, diikuti rapat oleh BN dengan 27.9 peratus, manakala Perikatan Nasional (PN) pula 12.7 peratus.
Pengerusi Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pengundi muda mendominasi kumpulan pengundi atas pagar, dengan 32 peratus daripadanya akan membuat keputusan pada hari pengundian.
Mengulas lanjut, Johari berkata, pengundi muda khususnya berusia 18 tahun perlu diberi panduan oleh ibu bapa mereka dalam memberi kefahaman mengenai hala tuju setiap parti politik di Malaysia.
Ujarnya, ini kerana kebanyakan daripada mereka kurang pendedahan mengenai dunia politik, sekali gus menjadi kebimbangan jika tersalah memilih wakil rakyat yang akhirnya merugikan masyarakat seluruhnya.
“Pengundi muda seperti budak universiti, mereka ini terdedah dengan isu semasa,mereka juga tahu dia punya kursus dan pencampuran dengan pelajar yang berpendidikan tinggi ini, they know what happen in the world.
“Kita paling takut budak yang baru lepas habis SPM umur 18 hingga 20, jadi dekat situ saya memainkan peranan untuk berjumpa dan bina hubungan dengan ibu bapa untuk terangkan kepada anak-anak mereka betapa pentingnya menilai setiap pemimpin.
“Kalau mereka tidak kenal, mungkin ibu bapa boleh bagi rujukan bagaimana untuk memilih wakil rakyat yang betul, mungkin juga ibu bapa ada interact dengan wakil rakyat sebelum, selepas atau yang sedia ada.
“Dari situ mereka boleh menilai dan beritahu anak-anak untuk membuat keputusan, kalau tidak sekarang mungkin pada PRU16 nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette