Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil dengan majoriti kukuh tidak patut mengundi Pakatan Harapan (PH).

Pentadbir Facebook Najib Razak menjelaskan, ini kerana PH telah menolak kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sekali gus menyebabkan peluang parti berkenaan untuk membentuk kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tipis.

“Jadi, rakyat yang idamkan sebuah kerajaan yang stabil dengan majoriti yang kukuh tidak patut pecahkan undi kepada PH.

“Sebaliknya, undilah BN untuk perkukuhkan majoriti bagi memulihkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil untuk lima tahun akan datang,” katanya dalam satu hantaran hari ini.

Terdahulu, Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen percaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mustahil untuk bekerjasama dengan PH selepas PRU15.

Katanya, parti komponen GPS pernah menganggotai Barisan Nasional (BN) hingga 2018.

Dengan itu Chieng Jen menjelaskan, mengundi GPS hanya akan mengembalikan kuasa UMNO untuk memerintah negara.

“Jika itu bukan yang kita mahu, maka kita harus elak semua kemungkinan mengembalikan kuasa kepada Umno.

Kita tidak boleh undi GPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette