KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah soal masa depan negara, bukan untuk mana-mana pemimpin politik, tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu katanya, rakyat perlu melihat tawaran yang dibuat oleh parti yang bertanding, bukan bermain sentimen dan retorik untuk menagih simpati undi.
“Rakyat perlu lebih rasional untuk memilih kemenangan parti yang mereka mahukan. Usahlah pemilihan tersebut dikaburi oleh emosi dan sebagainya.
“Pilihan rasional perlulah dilakukan dengan bijaksana. Cukuplah sekali kita diperintah oleh kerajaan gagal selama 22 bulan dan ini menyebabkan politik tidak stabil dan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam lima tahun.
“Ini amatlah tidak dapat kita terima jika mahu kestabilan negara. Janganlah kita cuba bereksperimen dengan sesuatu yang boleh memudaratkan kita, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya malam ini.
Ahmad Zahid mengingatkan rakyat akan masa depan negara yang akan ditentukan oleh mereka sama ada mahukan kestabilan atau sebaliknya.
Katanya, UMNO mahu mengembalikan sebuah kerajaan yang berwibawa dan ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan kesepakatan sehati sejiwa rakyat memasang tekad mengundi BN.
“Hakikatnya, pemimpin datang dan pergi, tetapi andalah penyokong BN yang akan menentukan kelangsungan parti BN ini untuk masa depan negara.
“Ingatlah setiap undi anda beri kepada Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu anda sebenarnya memberi undi kepada ketidakstabilan.
“Jika undi diberikan untuk Perikatan Nasional (PN) ia sekadar membazirkan undi yang seharusnya untuk kemenangan BN,” kata beliau.
Jelasnya, BN adalah sebuah gabungan tradisi yang panjang dan besar serta wajib dimenangkan dan semua pihak perlu mendukung serta mengundinya.
“Jangan pula tidak keluar mengundi dan berasa selesa kerana tidak ada yang mudah untuk semua parti yang bertanding untuk menang kecuali dengan kerja kuat dan usaha berterusan hingga saat akhir.
“Ketika inilah kesetiaan, sikap dan keyakinan pendukung BN diuji. Marilah kita membawa gelombang perubahan untuk BN pada pilihan raya kali ini!
“Rapatkan barisan, gandakan gerak kerja. Selebihnya kita berserah kepada Yang Maha Esa. Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette