Reezal Merican (tengah).

KEPALA BATAS – Rekod pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Kepala Batas terbukti apabila kawasan itu bukan saja membangun dari aspek infrastruktur malah terus dikenali sebagai jolokan kota pendidikan Pulau Pinang.

Calon Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau mahu memastikan kawasan ini terus membangun secara terancang dan terurus yang mana bersesuaian dengan komuniti.

Kata beliau, kawasan parlimen terkenal dalam melahirkan ramai tokoh agamawan itu juga berada dalam keadaan aman menerusi kewujudan pelbagai agensi penguat kuasa malah dilengkapi kemudahan asas yang baik sehingga boleh disifatkan sebagai amat berdaya huni.

Reezal Merican berkata, misi beliau dan parti amat jelas iaitu tidak lain terus membangunkan Kepala Batas antaranya fokus dalam aspek memperkasa agenda perumahan terutama membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri sekali gus mendukung aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerana itulah baru-baru ini julung kalinya, kita bawakan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kepala Batas meliputi pembinaan 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas di Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara.

“Bagaimanapun, dalam pada menuju pembangunan, kita mahu Kepala Batas ini dikekalkan sebagai kawasan yang cukup bersederhana dalam segala aspek termasuk dari berpolitik.

“Adalah cukup penting kita menjaga hubungan dan tidak mengamalkan politik kebencian kerana kita merupakan satu keluarga besar di Kepala Batas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mewarisi legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan perdana menteri yang merupakan ahli parlimen selama tujuh penggal di Kepala Batas, Reezal Merican menegaskan segala perancangan bukan sekadar retorik kerana ia telah dibuktikan berdasarkan keperluan dan kehendak rakyat.

“Track record (rekod pemerintahan) BN di Kepala Batas telah terbukti membawa limpahan ekonomi serta kemakmuran ke kawasan itu baiklah dari aspek infrastruktur, pendidikan, pelancongan, perusahaan makanan malah sentiasa memperkasa usahawan tempatan terutama dalam kalangan anak muda.

“Pembangunan anak muda sentiasa diberi perhatian malah pelbagai fasiliti dan kemudahan telah diusahakan buat golongan berkenaan seperti e-Sport Youth Cabin di Wisma UMNO Kepala Batas yang juga dilengkapi gelanggang futsal serta terbaharu pembinaan pusat belia bertaraf tinggi bernilai RM45 juta di Paya Keladi.

“Insya Allah, tidak lama sahaja lagi, kita juga bakal menyaksikan pembukaan satu lagi produk pelancongan di Kepala Batas ini iaitulah taman tema air bertaraf lima bintang yang terletak pada lokasi cukup strategik dengan pelbagai tarikan aktiviti,” katanya.

Pada PRU15 ini, penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas itu bakal bersaing dengan Danial Abd Majeed daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Siti Mastura Mohamad mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Hamidi Abdul Hassan daripada Gerakan Tanah Air (GTA). – MalaysiaGazette