KUALA SELANGOR – Calon Barisan Nasional (BN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri tetapi mahu memberi fokus kepada berkhidmat membantu rakyat di Parlimen Kuala Selangor dan menabur bakti kepada negara.

“Sebagai pemimpin yang baru menyertai politik, saya memberi tumpuan untuk memastikan kemenangan BN di Parlimen Kuala Selangor.

“Saya semestinya meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara biarpun tidak menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini apabila ditanya sama ada beliau menyimpan cita-cita menjadi Perdana Menteri selepas menyertai politik.

Pada 9 November lalu, calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri kelak.

Mengulas perkara itu, Tengku Zafrul berkata, beliau sememangnya tidak pernah terfikir mengenai perkara berkenaan setakat ini.

Terdahulu Tengku Zafrul melawat Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Kuala Selangor.

Sementara itu, beliau melahirkan rasa terharu dengan sambutan positif yang di terimanya daripada masyarakat di Parlimen Kuala Selangor sepanjang tempoh berkempen yang kini berbaki dua hari lagi.

“Saya turun menemui pengundi lebih 20 program dan kawasan setiap hari di Kuala Selangor.

“Alhamdulilah semuanya berjalan dengan baik dan yakin kemenangan akan berpihak kepada saya nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette