Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki kerana mengedar risalah parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di dalam kawasan Pangkalan Tentera Laut Malaysia (TLDM), Lumut pada Isnin lalu.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia, Komisioner Datuk Seri Hazani Razali berkata, mereka ditahan ketika rondaan yang dilakukan oleh tentera laut ke atas atas kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan pada jam 8.30 malam.

“Ketiga-tiga suspek melanggar peraturan yang ditetapkan dalam pangkalan TLDM Lumut apabila mengedarkan risalah politik ke dalam peti surat rumah keluarga TLDM di empat blok perumahan keluarga kakitangan tentera laut di dalam kawasan larangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hazani, pemeriksaan mendapati suspek diberikan kelulusan masuk ke pangkalan itu atas urusan melawat saudara namun mereka terlibat dalam pengedaran risalah politik tanpa kelulusan TLDM.

Katanya, sebanyak lima kertas siasatan dibuka bagi kes tangkapan itu.

Tambah beliau, polis telah membuka sebanyak 30 kertas siasatan semalam semalam dan daripada jumlah itu sebanyak lima kertas siasatan dibuka di Perak diikuti Negeri Sembilan (4), Kelantan (4), Kedah (3), Selangor (3), Pahang (3), Sarawak (3), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing satu kes di Sabah, Terengganu dan Melaka.

Sementara itu, Hazani berkata, sebanyak 1,522 permit ceramah kempen telah diluluskan pihaknya semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 265 permit ceramah masing-masing diluluskan di Sabah dan Sarawak diikuti Kedah (158), Kelantan (122), Johor (120), Pahang (119), Terengganu 90 dan Perlis (20) permit.

“Dalam pada itu untuk semalam hanya satu aktiviti ceramah yang dikesan diadakan tanpa kelulusan permit iaitu di Sarawak,” ujarnya. – MalaysiaGazette