KPDNHEP berjaya menumpaskan kegiatan menyeleweng minyak diesel. - Foto: KPDNHEP

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menahan tiga lelaki yang disyaki melakukan penyelewengan terhadap minyak diesel bersubsidi dalam serbuan yang dilakukan di ebuah kawasan perindustrian di Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, ketika serbuan tiga lelaki yang mengaku mereka sebagai pekerja di premis terbabit sedang memindahkan minyak diesel daripada tangki simpanan ke sebuah lori tangki.

“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan juga telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 40,000 liter, kenderaan lori, mesin compressor, dokumen-dokumen perniagaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Azman, dalam serbuan itu pihaknya telah menyita minyak diesel, dokumen-dokumen perniagaan dan peralatan yang ditemui di premis itu bagi tujuan siasatan lanjut.

KPDNHEP berjaya meunpaskan kegiatan menyeludup diesel subsidi ke dalam lori tangki di kawasan perindustrian di Seremban dengan tertangkapnya tiga orang pekerja premis tidak bernama itu.- sumber KPDNHEP

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM323,000 dan siasatan untuk mengenalpasti dalang kegiatan haram itu sedang dilakukan.

Katanya, ketiga-tiga lelaki itu telah ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Kita akan mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk daripada mana minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Azman berkata, sekiranya syarikat disabitkan sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Katanya, syarikat yang terlibat dalam penyeludupan disesel bersubsidi juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel. – MalaysiaGazette