Calon Barisan Nasional (BN) P.147 Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad bercakap kepada media selepas Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parit Sentang Batu, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 07 NOVEMBER 2022.

PARIT SULONG – Sering turun padang dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat merupakan “merit” yang diberi oleh pengundi di kawasan ini kepada Datuk Noraini Ahmad.

Ahli Parlimen dua penggal itu juga turut dipuji oleh penduduk di kawasan ini kerana semenjak beliau menjadi wakil rakyat, pembangunan yang dibawa di Parit Sulong semakin rancak.

Rata-rata penduduk yang ditemui MalaysiaGazette tidak menafikan, Noraini seorang Ahli Parlimen yang komited dengan tugas selain segala perancangannya pasti menjadi dan bukan sekadar hanya janji dibibir.

Seorang penduduk, Siti Riszkina Norahim, 29, berkata,
Parit Sulong kini sudah berubah wajah apabila banyak infrastruktur kemudahan awam sudah tersedia di sini.

Siti Riszkina Norahim

Katanya, perubahan itu sangat ketara berbanding lima tahun lalu dan beliau sangat berbangga kerana Parit Sulong tidak ketinggalan.

“Alhamdulillah, saya tengok kita punya pemimpin di kawasan Parit Sulong ini sangat menjaga kebajikan penduduk di sini.

“Apa yang saya nampak pemimpin (Noraini) turun padang dan melihat sendiri bagaimana perkembangan penduduk kampung, kesusahan penduduk kampung dan alhamdulillah, bantuan-bantuan pun banyak juga diberikan,” katanya yang merupakan seorang peniaga industri kecil dan sederhana (IKS).

Bagi Mas Monaliza Masripan, 52, pula, beliau sangat merasai perubahan yang berlaku di Parit Sulong sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan PRU14 lalu apabila pembangunan ekonomi semakin rancak.

Mas Monaliza Masripan

Katanya, banyak bantuan diberikan kepada peniaga sekaligus melegakan pengusaha dalam industri itu.

“Kalau untuk ibu tunggal pula dia (Noraini) biasa bantu dan datang ke setiap kampung.

“Lagi satu macam program-program yang diadakan di masjid-masjid dan surau-surau, Alhamdulillah Datuk Seri sering turun padang untuk sertai bersama,” ujarnya.

Sementara itu, Norashikin Mohamad, 23, berharap agar Noraini dapat mengekalkan kedudukannya di Parit Sulong supaya lebih banyak lagi agenda yang dirancang oleh beliau terlaksana.

Jelasnya, beliau yakin masih ada lagi perkara-perkara yang belum dapat diselesaikan oleh penyandang kerusi Parlimen itu dan disebabkan itu jugalah pengundi di Parit Sulong wajar memberikan kepadanya peluang agar usaha murni yang hendak dijayakan tercapai.

Norashikin Mohamad

Katanya, segala perancangan terhadap agenda pembangunan akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi kerajaan negeri kini diterajui Barisan Nasional (BN) yang merupakan parti sama diwakili oleh Noraini di peringkat Persekutuan.

“Saya harapkan agar Dr Noraini menang dalam pilihan raya ini dan mengharapkan agar pembangunan di Parit Sulong ni semakin maju,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast