KUANTAN – Barisan Nasional (BN) Pahang mahu pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum agar membuat perubahan setelah hampir 20 tahun ditadbir pembangkang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kini sudah masanya kawasan itu diambil alih oleh Barisan Nasional (BN) bagi manfaat kepada rakyat agar diberi perkhidmatan yang lebih stabil dan makmur.
Ini terbukti katanya apabila calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah memberikan perkhidmatan secara sukarela kepada masyarakat di kawasan sebelum ini walaupun tidak bergelar wakil rakyat.
“Selama 15 tahun, kita tidak nampak perkhidmatan diberikan kepada rakyat DUN Teruntum, jadi saya merayu kepada pengundi kali inilah masa sesuai untuk kita tukar kepada calon BN.
“Calon ini memang aktivis masyarakat, walaupun beliau tidak memegang jawatan dalam politik, beliau memberi perkhidmatan secara sukarela.
“Kita nak pemimpin macam ini yang ada sifat semulajadi untuk membantu masyarakat bukan yang kena ada jawatan baru nak buat kerja,” katanya ketika ditemui ketika Majlis Ramah Mesra Anak Muda DUN Teruntum semalam.
Justeru beliau meminta sokongan golongan belia khusunya memberi sokongan kepada calon wanita BN, Tee Choon Ser atau lebih mesra dikenali Misty.
“Kalau mengundi DUN Teruntum tidak mengundi beliau sebagai wakil rakyat pada 19 November ini, saya rasa kerugian kepada rakyat, saya mengharap pengundi bagi peluang kepada Misty membeuat perubahan di sini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Pada PRU14, DUN Teruntum dimenangi Sim Chon Siang dengan majoriti 7,725 dan meraih sebanyak 12,227 undi, Misty@ Tee Choon Ser mewakili BN (4,502) dan Azizah Mohd Ali dari Pas (3,039)
Sim Chong Siang telah menyandang kerusi DUN Teruntum selama dua penggal bermula pada PRU 13.
Manakala pada kali ini DUN Teruntum bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Misty @ Tee Chon Ser (BN- MCA), Randy Yap (PN – Gerakan), Khairul Afifie Abdullah (Pejuang) dan Sim Chong Siang (PKR- PH) pada PRU15 ini.
Sementara itu, Misty yang ditemui menyifatkan perjuangannya demi rakyat akan diteruskan.
Beliau yang kali kedua bertanding itu percaya anak muda di kawasan itu memerlukan perubahan besar bagi membangunkan komuniti dalam pusat bandar ini.
“Saya jenis lawan tetap lawan, saya tidak akan berputus asa, saya sayangkan Kuantan dan ingin berkhidmat untuk masyarakat.
“Sungguh pun saya berumur 41 tahun, saya masih energetik untuk berkhidmat,” katanya. – MalaysiaGazette